MELAKA – Minatnya yang mendalam dalam perniagaan makanan mendorong seorang mekanik basikal mengusahakan jualan kopi dan teh secara pandu lalu menggunakan beca sebagai sumber utama pendapatan.
Lebih menarik, harga yang ditawarkan pula hanya RM2 untuk secawan kopi atau teh panas selain menu ringkas lain seperti mi dan bihun goreng, sandwich, kebab daging dan roti sosej.
Itulah dibuktikan Ahmad Usamah Nazar, 21, yang memulakan perniagaannya itu menggunakan beca terpakai milik keluarganya sejak Oktober tahun lalu selepas tidak sempat menamatkan pengajian diploma kejuruteraan elektrik.
Baginya yang juga seorang mekanik basikal, kegagalan tersebut bukanlah penamat rezeki sebaliknya menjadi permulaan untuk meneruskan minat dalam perniagaan makanan dibantu abang, Ahmad Nabil, 22, dan adiknya, Ummi Zulaikha, 14.
“Idea menjual kopi dan teh panas RM2 pandu lalu menggunakan beca ini bermula selepas dicadangkan abang selepas saya menyatakan minat untuk berniaga makanan menggunakan modal yang paling rendah tahun lalu.
“Dari situ, bermodalkan RM500 daripada duit simpanan, saya mengunakan nama Kopi Teh Ahmad sempena nama kami yang pada mulanya hanya dapat menjual 15 cawan sahaja sehari bermula jam 7 hingga 11 pagi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Klebang hari ini.
Tambah Ahmad, dari situ, mereka bertiga memikirkan cara untuk meningkatkan lagi pendapatan dan menambah beberapa menu ringkas lain seperti seperti mi dan bihun goreng, sandwich, roti daging dan sosej yang turut dijual pada harga RM2 setiap satu.
“Hampir sebulan berniaga, pendapatan waktu itu hanya pulang modal namun saya percaya pada rezeki yang telah dijanjikan Allah dalam perniagaan.
“Kini setelah hampir setahun, saya bersyukur kerana mampu meraih pendapatan kasar antara RM180 hingga RM250 sehari walaupun ada juga hari-hari tertentu jualan tidak habis dan akan disedekahkan kepada jiran,” katanya.
Tambahnya, walaupun meraih pendapatan lumayan dengan hanya berniaga menggunakan beca tetapi dia tetap meneruskan kemahiran dalam bidang pembaikan basikal sebagai sumber pendapatan sampingan.
“Saya berniaga setiap hari dan selepas jualan habis, saya akan membuka bengkel basikal pula berhampiran bermula pukul 2 hingga 6.30 petang.
“Bagi saya, usia muda tidak harus dipersiakan dan perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk mencari pendapatan sebagai persiapan di hari tua,” katanya. – MalaysiaGazette.