KUALA LUMPUR – Negara ini tidak memerlukan pakatan politik berkiblatkan ‘Malaysian Malaysia’ yang mendakwa mereka mengangkat kesamarataan dan integriti walhal sebenarnya hanya mahukan kuasa untuk kepentingan diri.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Nazir Helmi berkata, hakikatnya, sepanjang 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH), tiada satu pun kejayaan yang mereka bawa untuk negara.
“Golongan cauvinis dan ekstremis dalam PH menggunakan sebaik peluang, menyentuh berbagai perkara melibatkan dasar dan polisi yang sensitif, khususnya melibatkan Islam dan hak bumiputera.
“Perpaduan dan keharmonian negara tergugat akibat kegagalan mereka mengurus persepsi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menambah, dalam mereka menjaja soal integriti lawan, ternyata PH sendiri bagaikan ayam berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi.
Nazir memberitahu, kes-kes melibatkan pimpinan PH digugurkan, walaupun sedang dalam proses perbicaraan.
“Malah, ada yang tanpa segan silu mempertahankan pemimpinnya yang sedang dibicara, katanya mereka difitnah walhal bukti jelas dan nyata,” jelasnya.
Beliau menambah, rakyat telah memberi peluang kepada PH untuk memerintah menerusi sistem demokrasi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) namun mereka tumbang akibat kegagalan sendiri.
“Apakah pakatan sebegini perlu diberi sekali lagi peluang mengemudi negara? Jawapannya sudah tentu tidak,” katanya.
Nazir berkata, rakyat telah serik dengan episod hitam itu dan mereka tidak mahu diheret dalam politik fitnah dan sandiwara bersulam dendam.
“Cukuplah 22 bulan peluang yang diberi, rakyat tidak mahu ulangi lagi,” jelasnya. – MalaysiaGazette