Kamarulzaman Mohamad.-foto SYAFIQ AMBAK, 05 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Ummah memerlukan hiburan seperti filem Mat Kilau yang dapat membangkitkan semangat dan jati diri Melayu berteraskan Islam.

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas, Kamaruzaman Mohamad berharap banyak filem yang baik seperti Mat Kilau dihasilkan oleh penggiat seni negara.

Menurut beliau, filem arahan Syamsul Yusof itu telah menyumbang kepada kebangkitan semula kesedaran Melayu Islam mengenai jati diri mereka yang semakin merosot.

Filem yang sama, katanya, memaparkan sisi gelap yang melemahkan umat Islam bukan hanya di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia di sepanjang zaman.

Sifat negatif umat Islam termasuk menjadi pembelot demi kepentingan diri, takut dan tiada keyakinan diri, berpecah belah, imam yang lemah hingga hilang kemuliaan jati diri sebagai orang Islam Melayu.

“Di saat ummah sedang dilanda dengan pelbagai serangan dan penyakit yang melemahkan umat Islam terutama di negara kita Malaysia, setidaknya filem Mat Kilau menjadi penyumbang kepada kebangkitan dan kesedaran jati diri Melayu Islam.

“Bumi Malaysia ini milik kita yang dibebaskan daripada kerakusan penjajah dengan air mata dan darah para pejuang seluruh rantau nusantara yang dipimpin oleh para ulamak sepanjang sejarah panjang perjuangan.

“Maka menjadi tanggung jawab kita semua untuk menjaga warisan ini sebaiknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Kamarulzaman berkata, kekuatan utama filem Mat Kilau ialah pada mesej yang ingin disampaikan kepada penonton.

Filem itu telah memaparkan usaha orang-orang Melayu Islam untuk membebaskan tanah air daripada kerakusan penjajah.

“Elemen kekuatan semangat dan iltizam pejuang, kekuatan ilmu dan falsafah persilatan, semangat permuafakatan dan pengorbanan berteraskan kekuatan iman yang tulen menjadi adunan penting kepada kekuatan kepada filem ini sehingga timbulnya komen-komen sinis, dialognya seperti ceramah agama.

“Terima kasih saudara Syamsul Yusof, saudara Shahrudddin Mt Dali dan seluruh pasukan beliau atas inisiatif yang besar ini.

“Ummah perlukan hiburan seperti ini, hiburan yang dapat membangkitkan semangat dan jati diri Islam Melayu berteraskan Islam yang semakin pudar. Semoga lebih banyak filem-filem yang baik seperti ini dihasilkan oleh penggiat seni negara,” katanya.

Mat Kilau mendapat kutipan hampir RM100 juta iaitu satu rekod baharu kepada industri filem tanah air.

Bagaimanapun sejak ditayangkan di Netflix ia mendapat kritikan oleh mereka yang tidak menontonnya di panggung wayang.-MalaysiaGazette