Lim Kit Siang .- Foto MOHD ADZLAN, 20 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menolak dakwaan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusinya sebaliknya sedang ‘mengintai’ Parlimen Bakri.

Dalam kenyataan hari ini, pemimpin kanan DAP itu menegaskan, beliau telah bersara daripada politik dan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Bagi maklumat Hasni, saya telah bersara dari politik yang kompetitif dan saya tidak menyedari sebarang mesyuarat DAP baru -baru ini yang didakwa membincangkan pencalonan saya untuk kerusi Parlimen Bakri pada PRU-15,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di media sosial hari ini.

Awal tahun lalu, ketika Kongres Nasional DAP di Shah Alam, Selangor, Kit Siang yang merupakan wakil rakyat Parlimen Iskandar Puteri bagi dua penggal memaklumkan beliau tidak bertanding dalam PRU-15.

Pada PRU-14, calon DAP, Yeo Bee Yin menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Koh Chon Chai dan calon Pas, Md. Zahrul Salleh dengan majoriti 23,000 undi di Parlimen Bakri.

“Saya tidak tahu di mana Hasni mendapat maklumatnya tetapi dia terbukti menjadi pemimpin politik dan ahli strategi yang menyuarakan maklumat palsu.

“DAP dan Pakatan Harapan mesti bersyukur kerana Hasni adalah pemimpin UMNO di Johor yang percaya dalam maklumat yang salah,” kata Kit Siang.

Kit Siang telah berada dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP sejak 1966 dan seterusnya memegang jawatan Setiausaha Agung selama 30 tahun dari 1969.

Dia juga merupakan Ahli Parlimen bagi Bandar Melaka (1969–1974), Kota Melaka (1974–1978), Petaling (1978–1982), Kota Melaka (1982–1986), Tanjong (1986–1999), Ipoh Timor (2004–2013 ) dan Gelang Patah (2013-2018).

Isnin lalu, Hasni berkata, beliau memperoleh maklumat  Kit Siang akan bertanding dalam PRU-15 dan perkara itu diputuskan oleh DAP dalam mesyuarat parti itu baru-baru ini. – MalaysiaGazette