Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Pemain-pemain industri lemak bakeri di Malaysia boleh mengambil peluang dan membina hubungan perniagaan itu dengan China yang menyaksikan industri bakeri yang semakin berkembang.

Bagi industri itu, lemak bakeri (shortening) merupakan antara bahan mentah utama, mampu mendorong limpahan ekonomi bagi segmen hiliran sektor minyak sawit Malaysia.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, produk bakeri seperti kek dan roti yang semakin popular dalam kalangan penduduk China, permintaan juga dijangka meningkat untuk bahan seperti lemak dan marjerin yang menggunakan minyak sawit sebagai bahan mentah.

Menurutnya, pada masa ini pengeluaran tahunan lemak di China tidak mampu menampung permintaan penggunaan domestik yang semakin meningkat setiap tahun.

Negara itu terpaksa mengimport bahan mentah terutamanya dari Indonesia dan Malaysia dengan negara ini mengeksport sebanyak 7,655 tan metrik (MT) lemak ke sana pada tahun 2021.

”Pada waktu yang sama, pasaran marjerin China juga berkembang pesat dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 20%. China mengimport bekalan marjerin dari Indonesia manakala jumlah import marjerin dari Malaysia pula adalah sebanyak 650 MT pada tahun 2021, dengan peningkatan sebanyak 10% daripada 590 MT pada tahun 2020.

”Walaupun bahagian pasaran Malaysia dalam industri bakeri China ketika ini kecil, Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia mampu mengembangkan bahagian pasarannya dengan strategi promosi dan pemasaran yang betul.

”Mengambil kira perkara ini, pengeluar lelemak dan marjerin tempatan harus secara proaktif menjalinkan hubungan dengan pengusaha bakeri terkemuka di China,” katanya dalam kenyataan di sini.

Zuraida berkata, dari 2017 hingga 2021, saiz pasaran industri bakeri China telah meningkat kepada 265.7 bilion yuan (RM172.53 bilion) daripada 187.7 bilion yuan (RM121.88 bilion) dengan purata kadar pertumbuhan tahunan terkompaun kira-kira 9%, iaitu jauh lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan saiz pasaran industri bakeri global.

Saiz pasaran industri makanan bakeri China dijangka mencecah 287.4 bilion yuan (RM186.62 bilion) pada 2022.

Selain itu, pendaftaran syarikat bakeri di China telah melonjak daripada 2,040 kepada 6,395 dalam tempoh 2017-2021 dengan purata CAGR kira-kira 33%.

Dalam enam bulan pertama tahun ini sahaja, bilangan syarikat berkaitan bakeri di China yang berdaftar berjumlah 2,815. 2021 juga menyaksikan pelaburan dalam industri bakeri China mengatasi 26 industri lain dengan jumlah keseluruhan 6.14 bilion yuan (RM3.98 bilion) disebabkan oleh pemulihan rancak ekonomi negara tersebut pasca Covid-19. – MalaysiaGazette