Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan replika cek tawaran usahawan kepada penerima pada Majlis Pelancaran Aktiviti Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta (KU1J@KPLB) di Hotel Le Meridien, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 21 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Mesyuarat Jemaah Menteri semalam tidak memberi tumpuan kepada tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebaliknya lebih banyak membincangkan persediaan menghadapi musim banjir.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bagaimanapun mengakui Kabinet ada membincangkan tarikh PRU-15 namun ia akan diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya ingat bincang banjir lagi banyak daripada isu mengenai pilihan raya. Memang kita ada bincang tarikh itu tapi saya rasa biarlah Perdana Menteri beritahu nanti selepas balik dari New York,” katanya selepas melancarkan Program Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta di sini malam tadi.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.Foto AFFAN FAUZI, 21 SEPTEMBER 2022.

Jelas Mahdzir, ahli Kabinet memahami kegusaran suara rakyat jika PRU-15 diadakan pada musim tengkujuh ini.

“Kita pun faham mengenai bencana banjir ini, jadi saya fikir Perdana Menteri pun mesti ambil kira nasihat daripada Jabatan Meteorologi juga untuk tahu bila sebenarnya musim banjir ini.

“Sebabnya cerita banjir ini pun dalam media sosial sudah jadi pelik-pelik, sekejap ada kata Oktober, November, Disember. Jadi biarlah datang waktu yang tepat nanti,” ulasnya.

Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan tarikh PRU-15 akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu kerana terdapat wakil bagi setiap parti dalam kerajaan.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.

Ia mendakwa perkara berkaitan pembubaran Parlimen dan pilihan raya adalah bidang kuasa Perdana Menteri. – MalaysiaGazette