Hampir 500 peserta menghadiri Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Negeri Pahang di Kuantan, hari ini

KUANTAN – Seminar Pendidikan Fatwa perlu diperluaskan bagi memberi penjelasan mengenai hukum yang telah diputuskan oleh badan pengeluar fatwa kepada masyarakat.

Selain itu, ia bagi memperkukuhkan kewibawaan fatwa dan mufti sebagai rujukan serta panduan berautoriti dalam masyarakat, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

“Hubungan akrab yang dibina serta gerak kerja secara bersinergi dan tidak bertindak sendirian merupakan kaedah paling efektif dalam mendepani cabaran dan persekitaran semasa.

Agensi agama tidak boleh bersendrian tetapi harus berganding bahu menyusun langkah dan gerak kerja yang lebih efektif,” katanya ketika berucap semasa Program Seminar Pendidikan Fatwa Negeri Pahang di sini hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Mufti Pahang,  Datuk Seri Abdul Rahman Othman.

Pada program berkenaan, hampir 500 peserta menghadiri seminar selama sehari itu terdiri daripada penjawat awam, guru pondok dan tahfiz, pensyarah dan guru takmir.

Seminar Pendidikan Fatwa merupakan suatu program tahunan Jabatan Mufti Negeri Pahang (Bahagian Fatwa) yang membicarakan tentang isu-isu semasa mengenai ibadah, akidah, tasawuf,  muamalat dan sebagainya selain sesi perbentangan oleh penceramah profesional.

la bertujuan memberikan pendedahan dan penjelasan kepada masyarakat berhubung dengan isu-isu semasa yang dibincangkan dan diputuskan peringkat kebangsaan dan negeri.

Sementara itu, Abdul Rahman mencadangkan supaya sesi majlis penerangan berkenaan diperluaskan di setiap daerah dalam masa berkala bagi memberi peluang kepada lebih ramai mendapat manfaat.

“Seminar fatwa ini menerangkan kepada masyarakat Islam di Negeri Pahang mengenai isu-isu terpilih berhubung dengan fatwa-tatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang.

“Buat secara berkala di semua daerah supaya ramai lagi dapat sertai dan dibuat sebulan sekali selain dari seminar pada setahun seperti ini.

“Kalau boleh setiap bulan dan tapi tengok macam mana tapi dicadangkan setiap bulan ke setiap daerah daerah dan telah dapat persetujuan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja,” katanya. – MalaysiaGazette