Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak yang menerima rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) sejak 19 September lalu telah dihantar semula ke Penjara Kajang selepas mendapat pelepasan daripada pakar perunding perubatan Hospital Kuala Lumpur dan HRC.

HRC dalam kenyataannya hari ini berkata, Najib dalam keadaan baik ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

Najib juga telah mendapat tunjuk ajar oleh Jurupulih Perubatan Fisioterapi dan boleh menjalankan latihan teknik senaman secara kendiri.

“Pakar perunding yang berkaitan juga telah mengadakan sidang keluarga  bersama beliau dan ahli keluarga terdekat, yang mana mereka telah dimaklumkan situasi terkini keadaan kesihatan serta pelan pemantauan kesihatan beliau,” katanya.

HRC berkata, pihaknya akan terus komited dan telus dalam memberi perkhidmatan bagi memastikan pesakit yang dirawat dapat mencapai tahap potensi optimum serta mencapai tahap kefungsian yang maksimum.

Baru-baru ini, Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan Najib telah dirujuk ke HRC untuk diberi rawatan dan pemantauan lanjut.

Katanya, Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman sebaik sahaja pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau.

Mahkamah Tinggi di sini sebelum itu telah memerintahkan Najib dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan setelah dimaklumkan keadaan kesihatan beliau tidak memuaskan. – MalaysiaGazette

Najib kini terima rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras