Pulau Song Song didakwa menjadi sempit dan mendap akibat projek pengambilan pasir laut di Yan, Kedah.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) mengkaji semula kelulusan projek pengambilan pasir laut di Yan, Kedah.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, projek tersebut jika diluluskan kelak akan menjejaskan alam sekitar dan sumber pendapatan penduduk di daerah itu.

Kata beliau, pengambilan pasir itu turut menjejaskan keadaan semula jadi empat buah pulau di perairan itu.

Pulau terbabit adalah Pulau Song Song, Pulau Telur, Pulau Bunting dan Pulau Bidan yang mana pembiakan hidupan laut serta ekosistemnya juga turut terancam.

“Operasi pengambilan pasir hanya dibenarkan di luar kawasan tiga batu nautika dari pulau berkenaan namun kapal penyedut pasir di sini, kerap melakukan aktiviti mereka berhampiran pulau itu pada waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Pulau yang paling teruk terancam ketika ini ialah Pulau Song Song, menyebabkan pantainya menjadi sempit dan semakin mendap.

“Dulu, kawasan ini menjadi tempat penyu mendarat tetapi sekarang tidak lagi sesuai bagi hidupan itu bertelur dan membiak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohideen, Kerajaan Negeri Kedah dan Jabatan Perikanan juga perlu menyiasat aktiviti berkenaan kerana ia turut mengancam sumber perikanan dan kehidupan kira-kira 1,000 nelayan di sekitarnya.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, aktiviti menyedut pasir laut di perairan itu bukan sahaja boleh mengancam keadaan semula jadi pulau dan mencemarkan perairan berkenaan tetapi turut memusnahkan tempat pembiakan ikan.

Kata beliau, KeTSA, jabatan dan agensi yang terbabit termasuk Kerajaan Kedah perlu beri perhatian serius terhadap rungutan dan bantahan penduduk tempatan sebelum ini kerana mata pencarian mereka semakin terjejas.

“CAP kesal dengan kelulusan projek ini yang sepatutnya dikaji secara terperinci terlebih dahulu dan dipantau dengan rapi oleh kerajaan supaya tidak mengancam alam sekitar atau memberi masalah kepada kehidupan nelayan di daerah itu.

“Kita percaya jika keadaan itu berlarutan, hidupan laut di perairan berkenaan akan mengalami kepupusan dan boleh menggugat sektor perikanan negara pada masa akan datang,” kata Mohideen. – MalaysiaGazette