KUALA LUMPUR – Kumpulan terkenal Indonesia, Slank pasti dirindui oleh peminat mereka menerusi aksi di atas pentas dengan lagu-lagu yang cukup bertenaga.

Kini, kerinduan peminat Malaysia bakal menjadi kenyataan apabila kumpulan terkenal seberang itu bakal diterbangkan khas oleh TBRW Global Sdn. Bhd. untuk bertemu mata dengan peminat setia.

Tanggal 19 November ini merupakan tarikh penting yang patut ditanda kerana Slank akan mempersembahkan konsert dengan judul Konsert 4 Dekad Slank bertempat di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert yang akan bermula pada pukul 8.30 malam menyaksikan Slank bakal mempersembahkan konsert dengan durasi dua jam khas buat para peminat di Malaysia.

Tiket-tiket dengan harga (early bird) Cat 4 (RM298), Cat 3 (RM398), Cat 2 (198) dan Cat 1 (238) harga biasa (normal) Cat 4 (RM318), Cat 3 (RM418), Cat 2 (218) dan Cat 1 (258) akan dijual mulai esok pukul 11 pagi di https://www.ticket2u.com.my.

Sementara itu, Slank yang dianggotai oleh Kaka (vokal), Bimbim (dram), Abdee Negara (gitar), Ridho (gitar) dan Ivanka( bass) merupakan kumpulan rock terbesar di Indonesia yang berasal dari Jakarta.

Kumpulan pujaan ramai ini diasaskan pada tahun 26 Disember 1983 oleh remaja di lorong di Jakarta yang bergelar Gang Potlot, dengan membawa muzik aliran rock.

Slank muncul dengan album berjudul Suit-suit…Hehehe (Gadis Sexy) pada tahun 1990 diikuti dengan pelbagai album pada setiap tahun hinggalah album Vaksin Slank yang dilancarkan pada 1 Januari 2021 dengan tag line ‘Suntikan cinta yang menyehatkan hati dan mencerdaskan akal. Vaksin Slank.’

Sehingga kini dalam usia mencapai 40 tahun, Slank sudah mengeluarkan 24 buah album dan itu merupakan kunci kepada keberadaan mereka hingga kini.

Kumpulan yang aktif dan bertenaga hingga sekarang ini juga pernah muncul dengan beberapa album runut bunyi seperti Get Married, Get Married 2 dan Generasi Biru The Movie.

Malah kumpulan ini pernah merangkul pelbagai anugerah antaranya empat kali memenangi Album Rock Terbaik di Anugerah Musik Indonesia serta memenangi Most Favorite Band di Anugerah MTV Indonesia dan pelbagai lagi. – MalaysiaGazette