Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Razim Mohd. Noor berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Antirasuah Pengurusan Bantuan Dana Kerajaan kepada Badan Sukan 2022 di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 25 SEPTEMBER 20222.

PUTRAJAYA – Pendakwaan kes rasuah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuktikan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memilih bulu.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor berkata, siasatan yang dijalankan oleh badan itu telah membawa kepada penahanan Najib dalam  skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada tahun 2018.

“Saya pernah ditanya sama ada SPRM pilih bulu atau tidak. Tidak ada pilih-pilih bulu.

“Saya cerita begitu dengan orang, bukannya terus tangkap ketika dia tak jadi Perdana Menteri, kita siasat ketika dia masih jadi Perdana Menteri.

“Bila sudah tidak jadi Perdana Menteri, masa itu kita tangkap dia. Siasatan pun sudah habis. Tidak ada cerita pilih bulu,” katanya ketika merasmikan majlis penutup Program Anti-rasuah Pengurusan Bantuan Dana Kerajaan kepada badan sukan 2022 di ibu pejabat SPRM, hari ini.

Mengulas lanjut, Razim berkata: ”Ketika kempen, pihak lawan sudah memburukkan dia, tapi tak boleh nak lari sebab kes itu semua orang sudah tahu.

“Luar negara sudah dedahkan, tapi SPRM sudah jalankan tindakan, jadi bila kata tak pilih bulu itu salah, memang kita tak pilih bulu,” katanya lagi.

Untuk rekod, Najib ditahan pada 19 September 2018 oleh SPRM berhubung skandal 1MDB membabitkan dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke akaun peribadinya.

Dalam satu kenyataan media ketika itu, SPRM memaklumkan penahanan itu dibuat pada jam 4.13 petang di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Ketika itu, Najib menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Bekas Perdana Menteri itu didapati bersalah bagi kesemua tujuh tuduhan salahguna kedudukan, pecah amanah da pengubahan wang haram melibatkan syarikat SRC International.

Beliau telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dengan denda RM210 juta. – MalaysiaGazette