Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin.

KUALA LUMPUR – Pas dan UMNO digesa mendengar suara akar umbi yang mahu melihat kedua-dua parti itu bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Exco Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin yang menyuarakan hasrat itu berkata, UMNO dan Pas perlu kembali ke meja rundingan bagi mewujudkan ‘khemah besar’ kepada Melayu serta Islam.

Perpaduan antara UMNO dan Pas amat penting bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak kembali menjadi kerajaan pada PRU-15.

Muhamad Muqharabbin berharap Pas dan UMNO dapat mengetepikan ego masing-masinng demi agama, bangsa dan negara.

“Jangan lagi pisang berbuah dua kali, biarlah putih tulang jangan putih mata, segala-galanya rosak binasa. Dengarlah suara kami akar umbi supaya bangsa ini dan rakyat berbilang kaum dapat hidup aman harmoni dengan dipimpin oleh Muafakat Nasional (MN).

“Saya akui di beberapa negeri, amat sukar Pas dan UMNO untuk bekerjasama namun demi agama, demi bangsa Melayu dan kesejahteraan bangsa lain, saya merayu ketepikanlah kesombongan, kembalilah kepada kesepakatan, berkongsilah kuasa demi kebaikan ummah,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai menegaskan, cetusan idea khemah besar antara Pas dan UMNO adalah melibatkan MN bukan PN.

Justeru, beliau yakin dengan segala perancangan yang akan dibuat oleh kepemimpinan parti.

“Buatlah yang terbaik, berbincanglah elok-elok supaya PH yang merosakkan ekonomi negara, yang menganiaya rakyat dengan janji palsu, yang meruntuhkan keharmonian rakyat, yang menipu manifesto, yang menghasut rakyat, tidak kembali berkuasa semula.

“Saya merayu supaya jangan sesekali ini berlaku lagi. Rakyat akan sengsara lagi-lagi ekonomi dunia dijangka akan mengalami kemelesetan tahun depan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, ahli akar umbi kedua-dua parti tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama.

Di kawasan Pantai Dalam misalnya, UMNO dan Pas sentiasa memberikan fokus kepada membantu rakyat dengan tidak ada perbalahan.

Malah beliau yakin jika Pas dan UMNO bergabung, Parlimen Pantai Dalam antara kawasan yang boleh dirampas daripada PH.

“Sekiranya kami di sini bergabung, saya yakin sepenuhnya, Parlimen Lembah Pantai, BN dan Pas dalam MN akan diberikan mandat untuk kembali memimpin dan membawa landskap perubahan yang lebih baik untuk rakyat kawasan ini,” katanya.

Pemimpin utama Pas sebelum ini jelas menyatakan UMNO bukan musuh parti itu dalam PRU-15.

Sementara media melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Selasa lalu bagi membincangkan isu MN selain mengelakkan pertembungan dua parti itu pada PRU-15.-MalaysiaGazette