TEMERLOH – Lebih 10,000 ahli keluarga terdiri tujuh generasi keturunan Tok Deraman Perkasa yang menetap di negeri Pahang, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Johor sudah dikenalpasti.
Pengerusi Penaja Titisan Tok Deraman Perkasa (TTDP), Profesor Datuk Mohd Najib Dawar berkata, pihaknya bercadang mewujudkan pengkalan data bagi menyusun susur galur dari keturunan Tok Deraman Perkasa bagi menjejak waris keluarga itu.
Jelasnya Tok Deraman Perkasa berketurunan Bugis dari Sulawesi Selatan merupakan datuk kepada Abdul Rahman Tuanku Imam Nuh atau dikenali sebagai Tok Bahaman, pahlawan terkenal di negeri ini.
“Kita akan bina satu pangkalan data untuk kemas kini semua data yang kita peroleh, ini akan memudahkan kita menjejaki lebih ramai lagi keturunan Tok Deraman Perkasa.
“Setakat ini, kita sudah menjejaki sebahagian keturunan dari tiga anak Tok Deraman Perkasa, iaitu Tok Omar, Tok Rokiah dan Tok Imam Kassim.
“Jika kita sudah ada pangkalan data yang lengkap, secara tidak langsung, bolehlah kita melengkapkan sejarah berkaitan pahlawan-pahlwan di Pahang, khususnya di Semantan yang berkaitrapat dengan Tok Bahaman serta pahlawan seangkatan dengannya,” katanya ketika ditemui.
Najib berkata, sebagai permulaan mengumpulkan keluarga besar itu, keluarga itu telah menganjurkan Majlis Tahlil Perdana dan Jamuan Titisan Tok Deraman Perkasa (TTDP) yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), di Lanchang, semalam.
Tambahnya, pertemuan lebih 2,000 ahli keluarga keturunan Tok Deraman Perkasa buat pertama kali itu dapat merapatkan silaturahim selain mengambil peluang mengetahui salasilah keturunan kepahlawanan Melayu negeri Pahang. – MalaysiaGazette