KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dicabar untuk bekerjasama dengan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menentang UMNO.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kedua-dua pemimpin terbabit pernah bekerjasama untuk menumpaskan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Elok Muhyiddin ‘kowtim’ semula dengan Tun Mahathir yang memang memusuhi UMNO,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Kelmarin, Muhyiddin berkata, partinya mengisytiharkan secara terbuka BN sebagai musuh utama pada PRU-15 justeru beliau meminta ahli-ahli Bersatu agar tidak gentar menentang UMNO.
Bagaimanapun, pengumuman Muhyiddin itu tidak disambut dengan baik oleh pemimpin-pemimpin Pas yang menegaskan bahawa musuh utama PN adalah Pakatan Harapan (PH).
Mohd. Puad memberitahu, sikap Muhyiddin Yassin yang secara terang-terangan memusuhi BN bukan sesuatu yang menghairankan kerana beliau sudah lama berbuat demikian.
“Muhyiddin memusuhi BN sejak dia naik pentas DAP. Sebenarnya dia benci UMNO. Dia kowtim dengan Dr Mahathir Mohamad tubuh Bersatu. Tujuannya untuk bunuh UMNO pada PRU-14.
“Sebab itu apa yang mahu dihairankan. Rasa benci Muhyiddin kepada UMNO cukup jelas di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor,” jelasnya.
Mohd. Puad menambah, Bersatu dianggap sebagai musuh yang tiada harga diri yang bukan sahaja didukung oleh ramai ‘katak’ malah takut untuk ‘tekan butang’.
Beliau juga menganggap Bersatu sebagai melukut di tepi gantang dan hanya menumpang ihsan Pas.
“Bersatu berani memusuhi UMNO kerana ada Pas. Beranikah Bersatu memusuhi BN tanpa Pas sepertimana BN sanggup berlawan secara solo,” katanya.
Pada masa yang sama, Mohd. Puad berkata, Muhyiddin telah dimalukan oleh Pas kerana parti itu mengumumkan secara terbuka bahawa PH adalah musuh PN dan bukannya BN. – MalaysiaGazette