Wong Kah Woh

KUALA LUMPUR – Dua kementerian dan satu agensi penguatkuasaan akan dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen berhubung siasatan terhadap perolehan Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, keputusan itu diambil setelah jawatankuasa tersebut bersetuju sebulat suara untuk memulakan prosiding siasatan terhadap kes tersebut.

“Dalam perbincangan berhubung perkara berkenaan, PAC berpendapat kerajaan iaitu APMM dan KDN perlu memberikan penjelasan kepada Parlimen melalui Jawatankuasa ini bagi memastikan rakyat-rakyat mengetahui sebab sebenar kelewatan itu berlaku,” kata Kah Woh dalam satu kenyataan, hari ini.

Antara pihak yang akan dipanggil adalah KDN, APMM dan Kementerian Kewangan (MOF).

Bagaimanapun, Kah Woh berkata, PAC masih belum menetapkan sebarang tarikh bila prosiding itu akan mengambil tempat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata, PAC bebas untuk menyiasat projek berkenaan yang bernilai RM740 juta itu.

Untuk rekod, projek tersebut masih belum disiapkan sejak dua tahun lalu.

Menurut Kah Woh, prosiding yang dijadualkan itu wajar diadakan kerana ia selaras dengan punca kuasa Jawatankuasa ini di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang jelas menyebut “…apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Jawatankuasa itu patut diperiksa…”.

“Selain itu, PAC juga akan menggunakan punca kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 83(2) serta Perkara 11(b) Pekeliling Am Bil 2 Tahun 1982 Organisasi-organisasi Kementerian Jabatan Perdana Menteri dalam mengendalikan prosiding ini,” kata Kah Woh.

Terdahulu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, tiga buah OPV milik APMM yang sepatutnya diterima pada 2020 masih dalam pembinaan oleh syarikat tempatan, THHE Destini Sdn. Bhd. yang terletak di Pulau Indah.

Katanya, pandemik Covid-19 merupakan antara punca berlakunya kelewatan penyerahan kapal tersebut kepada pihak APMM.

Sebelum ini, PAC dalam laporannya mendedahkan kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal tempur pesisir pantai (LCS) kepada Boustead Naval Shipyard (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Kah Woh mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lapuk daripada projek kapal peronda lama. – MalaysiaGazette