Matawang pound

MOSCOW – Pound British  jatuh hampir tiga peratus berbanding dolar US pada pagi Isnin, dan mencecah rekod paras terendah dalam dagangan awal, menurut data dagangan.

Sputnik melaporkan setakat 04:46 GMT, pound susut 2.77 peratus kepada US$1.0555 daripada penutupan sebelumnya pada US$1.0856. Pada kira-kira 01:00 GMT, mata wang itu menjunam ke paras terendah baharu kepada US$1.0384.

Pada masa sama, euro merosot kepada US$0.9635 berbanding dolar US berbanding penutupan sebelumnya pada US$0.969. Yen Jepun mencatat paras 144.06 setiap dolar US berbanding penutupan pada 143.32. Indeks dolar (kadar tukaran asing berbanding sekumpulan mata wang enam rakan dagangan AS) meningkat 0.68 peratus kepada 113.95 mata.

Pada Jumaat lepas, Canselor Perbendaharaan Kwasi Kwarteng United Kingdom (UK) melancarkan pelan pertumbuhan bernilai 60 bilion pound baharu bagi menyokong ekonomi negara itu, di tengah-tengah peningkatan kos sara hidup. Pelan itu termasuk membatalkan rancangan kenaikan cukai perbadanan, dengan mengekalkannya pada paras terendah dalam G20, pada 19 peratus.

Menurut Ray Attrill, ketua strategi mata wang di National Australia Bank, pelabur bimbang terhadap skala keperluan pembiayaan kerajaan UK untuk jangka pendek untuk pelan berbilion paun itu. – BERNAMA