logo mahlamah

JOHOR BAHRU – Seorang bekas pegawai khas kepada mantan Menteri Besar Johor, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan slip gaji, empat tahun lepas.

Khairul Anuar Daud, 50, membuat pengakuan itu apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memalsukan slip gaji FlyFirefly Sdn Bhd bagi bulan Mei 2018 miliknya berjumlah RM15,820.63 dengan niat supaya dokumen itu digunakan bagi tujuan hendak menipu.

Bapa kepada tiga orang anak itu, yang juga bekas pegawai khas mantan Pengerusi Johor Corporation (JCorp) dituduh melakukan kesalahan itu di Jabatan Pengurusan Sumber Manusia – Operasi JCorp, Tingkat 11, Menara KOMTAR di sini, antara 26 Jun 2018 hingga 10 Julai 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah serta dia perlu melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Bahru setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 21 November ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Dayang Masneh Deh, manakala peguam Hazza Khalid mewakili tertuduh. – Bernama