Mohd Azmi Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli politik digesa supaya menghentikan permusuhan dan mengamalkan politik matang bagi membantu rakyat yang semakin tertekan dengan masalah ekonomi.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, rakyat semakin mual melihat gelagat parti politik dan politikus yang mutakhir ini masing-masing melampias pendirian menuding siapa musuh paling utama.

Katanya, jelas pemimpin politik kini nampaknya ghairah untuk mengisytiharkan siapa musuh masing-masing sedangkan perkara itu tidak menguntungkan sesiapa.

“Apa sebenarnya yang hendak ditonjolkan oleh pemimpin politik bila mengumumkan musuh masing-masing?

“Apa mesej yang hendak disampaikan kepada rakyat , dengan membandingkan siapa musuh siapa?

“Apakah yang mahu diperagakan bila berhujah mengenai permusuhan dengan siapa yang dianggap modal politik untuk meraih sokongan,” soal beliau menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Azmi berkata, adalah sangat mengecewakan apabila pemimpin politik ghairah untuk mengenalpasti musuh masing-masing yang sememangnya tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat bawahan.

Katanya, rakyat sudah bosan dengan pendekatan adu domba antara kelompok politik yang terlalu fanatik dengan ideologi masing-masing sehingga berbangga untuk bermusuhan.

“Sepatutnya politik negara tidak mengutamakan pertelingkahan. Politik mencari penyelesaian seharusnya menemukan semua pihak supaya merungkai kemelut yang sedang melanda negara.

“Kami kesal, dalam keghairahan sengketa politik yang tidak berkesudahan, agenda bermusuhan dan siapa yang lebih bermusuh dengan siapa menjadi agenda pengisytiharan perhimpunan politik.

“Kami menjangka pengundi muda akan semakin bosan dan berpersepsi bahawa politik memang kotor dan tidak bermoral,” ujarnya.

Justeru, pihaknya mendesak pemimpin politik berhenti daripada bersikap sedemikian dan sebaliknya, cakna dengan mengutarakan agenda untuk memulihkan negara.

“Sesungguhnya keutamaan politik harus ditumpu kepada membersihkan negara dari gejala rasuah, salah urus tadbir, penyelewengan dan kepincangan mengurus khazanah negara, penghakisan integriti pentadbiran serta politik wang yang menjijikkan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast