MELAKA – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) diarah mencari kaedah sesuai memantau keselamatan pelajar sekolah bagi mengekang kejadian culik daripada berlaku.
Exco Pendidikan Teknologi dan Telekomunikasi, Datuk Rais Yasin berkata, biarpun tiada kejadian culik berlaku di negeri ini, kerajaan negeri perlu mencari langkah pencegahan mengelakkan Melaka turut menjadi sasaran penjenayah.
“Minggu depan saya akan beritahu JPN dengan semua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) semua sekolah untuk melihat apakah kaedah yang dijalankan bagi mengelak kejadian culik di Melaka.
“Contohnya, mungkin boleh diusulkan satu kerjasama melibatkan JPN, sekolah dan PIBG untuk mengetatkan lagi kawalan keselamatan pelajar di sekolah-sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Dan Sesi Perkongsian Melaka Smart Grid Technology Summit 2022 di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Bersama (Industri) Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.
Mengulas lanjut, Rais berkata, satu mesyuarat penyelarasan antara tiga pihak itu perlu segera dibincangkan agar segala usaha menjaga keselamatan pelajar sekolah yang pada masa sama tidak menyusahkan ibu bapa.
“Sebab itu perlu mesyuarat penyelarasan sebab mungkin ada sesetengah sekolah telah membuat langkah keselamatan mengikut kesesuaian mereka yang berbeza-beza dengan setiap sekolah.
“Tapi ibu bapa juga saya harap dapat memainkan peranan mereka memastikan keselamatan anak-anak dan mengambil langkah pencegahan yang perlu berdasarkan situasi semasa ini,” katanya. – MalaysiaGazette.