Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bercakap pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pertahanan (Mindef) akan mewujudkan satu rangka kerja baharu bagi melihat secara keseluruhan langkah untuk mengoptimumkan aset dan sumber kedua-dua kementerian berkenaan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia susulan kerjasama yang baik antara dua kementerian berkenaan dalam menguruskan pandemik Covid-19 sebelum ini.

“Contohnya di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan ada keperluan sumber manusia yang mungkin boleh ditampung oleh KKM.

“Mungkin ada peralatan atau jentera di kawasan pedalaman yang ada pada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang boleh KKM deploy apabila diperlukan,” katanya pada sidang media selepas melawat HAT Tuanku Mizan bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, hari ini.

Menurut Khairy, kerjasama antara KKM dan Mindef yang wujud sebelum ini perlu diangkat ke peringkat lebih tinggi dengan misi yang jelas melalui rangka kerja baharu.

Sementara itu, beliau berkata KKM dan Mindef bersiap sedia untuk menghadapi musim tengkujuh dan bencana banjir pada akhir tahun ini.

Katanya, beliau dan Hishammuddin telah diberikan taklimat kesiapsiagaan ATM dan KKM untuk membantu Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekiranya negara dilanda bencana tersebut.

Khairy turut memaklumkan bahawa lawatan mereka pada hari ini, adalah arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Mesyuarat Jemaah Menteri lepas agar kementerian-kementerian terbabit melaksanakan kesiapsiagaan mantap untuk berdepan musim tengkujuh dan bencana banjir.

Selain itu, Khairy berterima kasih kepada ATM kerana bertindak secara pantas dalam membina hospital-hospital medan di beberapa negeri ketika pandemik Covid-19.

Justeru beliau berkata, KKM menyokong perolehan ATM dan Mindef bagi menambah peralatan dalam usaha memantapkan lagi kesiapsiagaan hospital-hospital medan di negara ini. – MalaysiaGazette