Lee Chean Chung

KUANTAN –  Pakatan Harapan (PH) yakin dapat menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah di dalam Parlimen Indera Mahkota menerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Indera Mahkota.

Pengarah Komunikasi Pusat PKR, Lee Chean Chung berkata, semua kepimpinan PKR perlu bekerja kuat dan memperkemaskan jentera peringkat akar umbi bagi merealisasi harapan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu itu berkata, perkara tersebut tidak mustahil dilakukan oleh parti itu memandangkan PKR sudah bertapak di DUN Semambu.

“Jika kita berusaha keras tidak mustahil, DUN Beserah dapat kita tawan selain mempertahankan kerusi sedia ada iaitu di DUN Semambu.

“Justeru kita berharap kerja kuat dari semua pemimpin terutamanya ketua ranting dan ketua-ketua di Pusat Daerah Mengundi (PDM) termasuk sukarelawan dapat dipertingkatkan,” katanya.

Chean Chung berkata demikan sejurus  jentera pilihan raya PKR DUN Beserah di Pusat Komuniti Dun Beserah di sini hari ini.

Sementara itu, Penyelaras DUN Beserah, Saifulzaman Mahmood berharap semua kepimpinan meningkatkan kerjasama di samping menyelaraskan gerak kerja menjelang PRU-15 nanti.

Beliau berkata, DUN Beserah kini berada di tahap kesiapsiagaan yang tinggi untuk merampas kerusi yang kini dipegang oleh Pas. – MalaysiaGazette