Keadaan laluan di Kilometer (KM) 84.6 sehingga KM84.7 berhampiran Lanchang, ditutup sepenuhnya kerana banjir. foto LPT

KUANTAN – Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), ANIH Berhad, akan menjalankan kerja-kerja fasa satu projek pengurusan banjir di LPT 1, bermula 1 Oktober ini.

Pengurus Besar Kanan ANIH, Radzimah Mohd Radzi berkata, pihaknya telah menjalankan kajian banjir secara terperinci dan komprehensif di sepanjang LPT1 bagi mengenalpasti komponen tebatan banjir yang akan dilaksanakan demi mengurangkan risiko kejadian banjir daripada berulang.

““ANIH Berhad sebelum ini telah bekerjasama dengan pelbagai agensi-agensi kerajaan di peringkat tempatan, negeri dan persekutuan untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan termasuk menilai cabaran semasa bagi melengkapkan cadangan rekabentuk dan proses kerja projek tersebut”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, fasa pertama itu melibatkan jaringan di KM124 berhampiran Temerloh dan dijangka mengambil masa selama 12 bulan.

Menurut Radzimah, laluan kecemasan arah ke Kuala Lumpur di lokasi itu akan ditutup selama enam bulan bermula Oktober ini hingga April 2023, manakala laluan kecemasan arah ke Kuantan pula akan ditutup bermula Mei sehingga November 2023.

Selain menutup laluan kecemasan, ANIH katanya, akan mengaktifkan laluan kontra di kawasan terbabit bagi memastikan impak lalu lintas berada pada tahap minimum sepanjang tempoh tersebut.

“ANIH Berhad juga telah mengaktifkan semua saluran YouTube kami, ANIH TV bagi memastikan para pengguna sentiasa mendapat maklumat tepat dan terkini mengenai projek tersebut,” tambah Radzimah.

Beliau juga menasihati pengguna melayari laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT – Line di 1-700-818- 700 untuk informasi lanjut, tepat dan terkini – MalaysiaGazette