Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tengah) diiringi timbalannya, Datuk Seri Ti Lian Ker (kiri) menyampaikan anugerah kepada Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (dua kiri) pada Anugerah Penarafan Bintang Badan Sukan Tahun 2021 di Majlis Sukan Negara, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 99 badan sukan dipilih menerima Anugerah Penarafan Bintang Badan Sukan 2021 kali ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, daripada jumlah itu, lima peratus adalah badan sukan peringkat kebangsaan, 10 peratus merupakan badan sukan peringkat negeri, 66 peratus badan sukan peringkat daerah manakala 19 peratus lagi adalah terdiri daripada badan sukan peringkat kelab.

“Hasil daripada penilaian ini juga mendapati lima badan sukan di peringkat kebangsaan berjaya menerima pengiktirafan lima bintang iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Persatuan Raket Skuasy Malaysia, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan akhirnya Persatuan Wushu Malaysia.

“Manakala 10 badan sukan lain meliputi pelbagai peringkat telah berjaya meraih penarafan empat bintang,” katanya di Majlis Anugerah Penarafan Bintang Badan Sukan Tahun 2021 yang diadakan di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Tambun itu juga memaklumkan tiga daripada 10 badan sukan yang menerima penarafan empat bintang itu hanya berstatus kelab.

Beliau juga menaruh harapan tinggi agar badan-badan sukan yang berjaya menerima penarafan bintang menjadi role model kepada badan-badan sukan lain untuk menyinar pada masa depan.

Katanya, selagi KBS diterajui oleh kepimpinan yang berkaliber dan bertanggungjawab, badan-badan sukan di negara ini akan terus dimartabatkan demi kecemerlangan.

“Bagaimanapun, badan-badan sukan yang gagal menerima penarafan bintang hendaklah juga memainkan peranan lebih signifikan dan jadikanlah kejayaan badan-badan sukan lain sebagai kayu ukur untuk mencapai lebih kejayaan di masa depan.

“Malah, perkara paling asas adalah untuk melengkapkan syarat penilaian yang ditetapkan iaitu dengan menyediakan laporan Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) bagi tempoh tiga tahun berturut-turut.

“Hal ini kerana setakat 31 Disember 2020, terdapat sebanyak 10,230 badan sukan yang masih tidak menepati syarat asas ini,” tegasnya.

Dalam perkara MYKB, menteri berkenaan berkata, KBS dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) memulakan pelan pemurnian dan pendaftaran badan sukan yang mana badan sukan yang gagal dalam tempoh 3 tahun berturut dianggap tidak aktif dan tindakan pebatalan dilaksanakan di bawah subsekyen 20(1)(b) Akta 576.

Beliau juga memberitahu pencapaian badan sukan hari ini tidak terhenti dan badan yang tidak menerima penarafan bintang dinasihati agar tidak berputus asa selain memasitkan semua ahli gabungan ditadbir urus denganbaik mengikut perlembagaan badan sukan masing-masing. – MalaysiaGazette