KUALA LUMPUR – DAP mengingatkan parti-parti politik agar tidak mengesampingkan lebih 1.3 juta warga emas di negara ini yang kini memerlukan penjagaan khusus kerana mereka juga adalah pengundi.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Howard Lee Chuan How mendedahkan, bilangan golongan itu yang semakin besar dijangka mencecah 17 peratus yang berusia 85 tahun daripada jumlah keseluruhan penduduk negara ini menjelang 2045.
“Sekarang ini 7 peratus, menjelang 2030 kira-kira 15 peratus akan berumur 65 tahun ke atas. Golongan ini bukan kecil dan mereka ini memerlukan penjagaan.
“Mereka ini semuanya pengundi, sekiranya kita tiada satu dasar atau pelan untuk membantu mereka yang perlu dijaga dan perlu menjadi penjaga.
“Ia akan menjadi satu titik buta dalam dasar negara (akibat tiada) perbincangan dasar ini dari sudut pandangan politik,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Howard juga mencabar parti-parti politik untuk membahas dan merangka satu dasar baharu bagi menambah baik aspek penjagaan warga emas sebelum dibawa ke Parlimen.
“Saya mencabar parti-parti politik untuk bincang hal ini, kerana sebenarnya ada kepentingan politik sebaliknya.
“Ada kajian menunjukkan lebih dari 5.1 peratus dari keseluruhan populasi di Malaysia pernah mengalami atau perlu memainkan peranan sebagai informal caregiver.
“Ada yang sebelum ini kerja sepenuh masa, tapi kena buat kerja separuh masa, kerana separuh masanya dipaksa untuk menjaga orang tua,” jelasnya.
Menurutnya, penuaan penduduk Malaysia harus dilihat sebagai sesuatu yang mampu membuka ruang dan peluang ke arah pembangunan Malaysia lebih maju dan progresif.
“Menghormati dan mengasihi warga emas adalah budaya kita dan penjagaan orang tua merupakan kewajiban bagi semua kaum dan agama di tanah air kita.
“Dalam ekonomi semakin hari semakin mencabar, memenuhi tanggungjawab penjagaan warga berusia tersayang berkemungkinan menjadi penghalang kepada sesetengah golongan daripada mencapai potensi kerjaya mereka,” katanya.
Sehubungan itu, DAP tidak menolak kemungkinan untuk memperkenalkan Pelan Kesiagaan Ekonomi Penjagaan dan Masyarakat Menua Nasional atau Siaga Jaga jika berjaya membentuk kerajaan semula selepas PRU15.
“Sebagai sebuah kerajaan berpandangan jauh, kami akan menyuntik sejumlah pelaburan awam serta menggalakkan pelaburan swasta ke dalam sektor perkhidmatan dan prasarana penjagaan serta sistem perlindungan sosial yang lebih inklusif dan komprehensif,” katanya.
Katanya, Siaga Jaga akan merangkumi agenda dan pelan tindakan yang memberi fokus kepada tiga perkara termasuk penjaga, penerima penjagaan serta Institusi.
“Penjagaan warga emas perlu dipertingkatkan supaya diberikan tahap dan darjat penghormatan yang tidak kurang daripada sektor-sektor kesihatan berkepakaran yang lain seperti kejururawatan dan fisioterapi.
“DAP juga mencadangkan agar bantuan dan elaun diberikan kepada penjaga bagi golongan yang terpaksa berhenti kerja disebabkan memenuhi kewajiban menjaga anggota keluarga yang ditimpa musibah,” katanya. – MalaysiaGazette