Acryl

KUALA LUMPUR – Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad
(KPDRM) menyasarkan untuk membuka 10 cawangan pajak gadai berkonsepkan Islam iaitu Ar-Rahnu sekitar Lembah Klang menjelang 2025.

Ketua Polis Negara merangkap Yang Dipertua KPDRM, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kewujudan Ar Rahnu KPDRM mampu memberi nilai tambah terhadap perkhidmatan serta produk Koperasi PDRM, sekali gus memberikan pulangan terbaik
demi manfaat seluruh ahlinya.

Menurut beliau, penglibatan KPDRM dalam industri ini merupakan langkah tepat dalam mempelbagaikan sektor pelaburan semasa bagi menyumbang kepada peningkatan dividen kepada anggota KPDRM.

“Pada awal penglibatan Koperasi PDRM dalam sektor Ar Rahnu, sasaran awal kita untuk cawangan ini hanyalah RM2.5 juta untuk nilai pembiayaan bagi tahun 2021, dan di penghujung 2021, cawangan ini telah mencapai nilai pembiayaan sebanyak
RM6.05 juta.

“Setakat hari ini, cawangan ini telah mencapai jumlah pembiayaan mencecah RM13.6 juta”,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Cawangan Pertama Ar Rahnu KPDRM di Shah Alam.

Hadir pada majlis, Pengerusi KPDRM, Datuk Hasanuddin Hassan.

Pada majlis yang sama, Acryl Sani menerima wakalah zakat daripada KPDRM berjumlah RM218,723.50 yang akan diagihkan Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) PDRM mengikut kategori serta kelayakan yang telah ditetapkan.

Sementara itu, Hasanuddin berkata, berdasarkan trend pasaran semasa dan sambutan yang memberangsangkan pihaknya optimis sasaran membuka 10 cawangan Ar-Rahnu di Lembah Klang akan tercapai.

“Melihat kepada prestasi yang amat memberangsangkan ini dan juga pelan strategik perniagaan Ar-Rahnu, Koperasi PDRM terus mengorak langkah menambah cawangan yang kedua di Sri Gombak, Selangor yang mula beroperasi pada 21 Januari 2022 dan cawangan ketiga di Sungai Besi, Kuala Lumpur yang beroperasi pada 13 Jun 2022.

“Cawangan keempat iaitu di Bangi, kini sedang dalam persediaan untuk beroperasi pada bulan November 2022”, katanya.-MalaysiaGazette