Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diingatkan tidak tergesa-gesa mengadakan pilihan raya umum kerana perlu memilih masa yang sesuai dan bukan ketika musibah banjir.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah berkata, tidak masuk akal untuk mengadakan pilihan raya pada tahun ini sedangkan negeri-negeri di Pantai Timur bergelut dengan banjir.

“Kerajaan sendiri pun tak upaya nak menyelamatkan 100 peratus nyawa rakyat kalau dilanda banjir besar. Tak usah cakap benda tak logik.

“Kalau banjir hanya melanda satu kawasan sahaja tak mengapa, ini akan meliputi seluruh Pantai Timur termasuk Sabah dan Sarawak yang selalu diancam banjir besar.

“Saya rasa baik cari masa dan musim yang lebih selamat supaya bukan sahaja boleh bertenang tetapi boleh keluar mengundi dengan bijaksana memilih parti,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tengku Razaleigh juga berkata, kerajaan perlu memberi ruang secukupnya kepada pengundi khususnya anak muda berusia 18 tahun ke atas untuk membuat pilihan dalam keadaan terkawal.

“Kali ini kita nak beri peluang kepada orang-orang muda yang pertama kali berdepan dengan kotak undi terutamanya pengundi 18 tahun ke atas.

“Mereka mesti diberi peluang untuk memikir sejelas-jelasnya. Kita patut perhalusi perkara ini supaya jangan dibuat tergesa-gesa.

“Semua orang nak pilihan raya cepat, kerana keadaan ini berlarutan dengan tidak ada ketentuan. Kita sudah melalui peristiwa-peristiwa yang merungsingkan.

“Elok ada pemerintahan yang lebih berkesan, yang boleh memberi harapan kepada rakyat terutama sekali golongan muda,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast