Seorang lelaki dipercayai sedang memancing penumpang secara haram di klia2 baru-baru ini. Foto JPJ Selangor

KUALA LUMPUR – Dua pemandu disyaki ‘ulat’ yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa secara haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ditahan  Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, kedua-dua pemandu ‘ulat’ itu berjaya ditahan dalam operasi khas pihak berkuasa itu secara berasingan pada Selasa dan Rabu lalu.

“Dalam tangkapan pertama, penguatkuasa JPJ berjaya menahan seorang lelaki berusia 43 tahun yang memandu sebuah kereta jenis Nissan Almera.

“Siasatan awal di lokasi mendapati ‘ulat’ tersebut mengenakan tambang kepada seorang penumpang tempatan ke destinasinya dari klia2  untuk ke Setia Alam, Shah Alam dengan kadar tambang sebanyak RM150.

“Tambang itu akan dibayar kemudian selepas pemandu haram itu menurunkan penumpangnya di destinasinya nanti,” kata beliau tengah hari tadi.

Tambah beliau, dalam tangkapan kedua, JPJ turut berjaya menahan sebuah kereta jenis Nissan Sentra yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun di klia2.

Pemandu itu dipercayai mengenakan tambang kepada dua penumpang tempatan yang mahu menuju ke Chinatown, di Kuala Lumpur dengan kadar tambang sebanyak RM110 yang akan dibayar setelah sampai ke destinasi.

“Berikutan penahanan dua suspek itu, JPJ turut berjaya merampas dan menyita dua kereta kedua-dua ‘ulat’ itu untuk tindakan lanjut.

“Kedua-dua individu itu akan disiasat dan diambil tindakan kerana menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Khairul menasihati orang awam menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA dan klia2  atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

“JPJ menyeru orang ramai agar jangan menagih khidmat pengangkutan yang tidak sah dan haram yang ditawarkan ‘ulat’ di lapangan terbang,” katanya. – MalaysiaGazette