Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin. Foto MUHD NA'IM, 24 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada bila-bila masa sahaja selepas UMNO dan Pas menyatakan kesiapsiagaan mereka.

Bagaimanapun, Naib Presidennya Datuk Radzi Jidin berpendirian tegas agar kepentingan rakyat harus diutamakan terlebih dahulu memandangkan musim tengkujuh dijangkakan pada hujung Oktober ini.

Beliau berkata rakyat telah melalui fasa sukar menghadapi Covid-19 sejak dua tahun yang lalu dan mereka bimbang dan tidak sanggup menghadapi PRU15 semasa musim banjir.

“Kita faham dan kita ada simpati serta faham kesusahan rakyat (musim banjir). Sebelum itu kita ingin beri ruang sebanyaknya untuk proses pentadbiran dan pengurusan negara dapat beri keutamaan demi kesejahteraan rakyat.

“Tetapi kalau dipanggil juga PRU, kami Bersatu bersedia bila-bila masa menghadapinya,” kata beliau pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Pelaksanaan Projek Pembinaan Kompleks Sekolah Presint 15 di SMK Presint 14(1) pagi tadi.

Beliau mengulas demikian selepas ditanya persediaan Bersatu selepas Mesyuarat Kepimpinan Tertinggi UMNO malam tadi mengesahkan kesediaan parti itu menghadapi pembubaran Parlimen dan PRU pada tahun ini.

Pas juga telah menggerakkan jentera pilihan rayanya.

Radzi secara berseloroh berkata, terdapat sesetengah pihak yang meletakkan kepentingan politik melangkaui segala-galanya sehingga mahu menyusahkan rakyat.

“UMNO dia rasa dia besar sangat, dia lupa rakyat Malaysia lebih besar dari dia,” sindir beliau.

Ditanya lagi sama ada parti Bersatu telah membuat pembahagian kerusi dan memuktamadkan senarai calon bertanding ada PRU15 kelak, beliau bagaimanapun secara ringkas berkata, penelitian mengenainya sedang dilaksanakan oleh pucuk pimpinan tertingi parti.

Radzi juga menyatakan kesediaannya bertanding di mana-mana, lebih-lebih lagi di Parlimen Putrajaya menentang Tengku Adnan Tengku Mansor, Radzi.- MalaysiaGazette