Wan Rosdy Wan Ismail ketika menghadiri Lawatan Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang di Kuantan semalam.

KUANTAN – Kerajaan Pahang sudah bersiap siaga menghadapi banjir besar di negeri ini berikutan jangkaan hujan lebat  ketika fasa Monsun Timur Laut kali ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semua jabatan serta agensi kerajaan negeri telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi bencana tersebut.

Beliau juga mengadakan Lawatan Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang pada Sabtu dan diberi taklimat strategi serta pengurusan banjir.

“Semoga segala usaha bagi melindungi rakyat negeri ini daripada sebarang bencana menimpa dipermudahkan AllahSaya turut difahamkan bahawa JPBM telah mengenal pasti 186 kawasan berisiko berlaku fenomena kepala air di seluruh negara,” katanya menerusi hantaran Facebook rasmi miliknya hari ini.

Terdahulu pada 14 September 2022, MalaysiaGazette melaporkan Kerajaan Pahang  membelanjakan sekurang-kurangnya RM47 juta bagi persediaan musim tengkujuh.

Peruntukan tersebut digunakan bagi membeli aset seperti bot dan pembinaan Pusat Pemindahan Sementara kekal di Maran.

Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan tapak pendaratan helikopter di Lipis bagi membantu memudahkan urusan penghantaran barang keperluan kepada mangsa banjir selain penyediaan sistem pengesanan pergerakan tanah di Cameron Highlands. – MalaysiaGazette