Majlis pelancaran koleksi RR Bridal RTW 2022/23 baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Selepas memperkenalkan segmen ‘ready to wear’ (RTW) atau sedia dipakai untuk baju kasual, jenama fesyen negara yang terkenal, Rizman Ruzaini kini tampil dengan segmen sama menerusi rekaan baju pengantin menerusi RR Bridal RTW 2022/23.

Ketua Pegawai Eksekutif Rizman Ruzaini, Rizman Nordin berkata, sebanyak 14 rekaan diperkenalkan yang termasuklah daripada rekaan klasik dan moden kontemporari.

Beliau berkata, menjadi kebanggaan untuk pihaknya dapat menunaikan impian wanita di luar sana yang selama ini menyimpan impian untuk memilih jenama ini di hari penting mereka.

“Sejak bertapak 17 tahun lalu, pakaian pengantin sememangnya menjadi antara rekaan yang sinonim dengan jenama kami. Malah kebanyakan pelanggan awal kami juga terdiri daripada kalangan bakal pengantin.

“Walaupun tidak dihasilkan dalam kuantiti yang banyak tetapi pakaian pengantin rekaan Rizman Ruzaini seringkali menjadi pilihan mempelai terutamanya golongan selebriti.

“Tidak dinafikan, apabila melihat golongan selebriti dan orang ternama memilih jenama kami di hari perkahwinan mereka, ada antara orang ramai teringin untuk menyarungkan Rizman Ruzaini.

“Mereka terinspirasi namun, soal harga selalunya menjadi halangan dan kebanyakan mereka akan terus berkata ‘kami tak mampu’. Maka, kerana itulah munculnya RR Bridal RTW 2022/23 sebagai tanda kasih-sayang kami kepada mereka untuk tampil paling menawan pada harga mampu milik di hari bahagia nanti,” katanya pada majlis pelancaran koleksi RR Bridal RTW 2022/23 di sini baru-baru ini.

Antara koleksi RR Bridal RTW 2022/23 keluaran Rizman Ruzaini.

Koleksi itu turut mengenengahkan Raysha Rizrose sebagai ‘muse’ mereka selepas jenama ini pernah bekerjasama dengan beberapa selebriti tempatan lainnya seperti Amyra Rosli, Zahirah Macwilson, Nelydia Senrose dan ramai lagi.

Rizman menambah, walaupun segmen RR itu dijual pada harga mampu milik, namun kualiti koleksi itu dikekalkan pada tahap premium di mana ntara material yang digunakan dalam rekaan ini ialah songket, heavy ghughori, sifon, taffeta, pleated net dan renda.

Beliau berkata, warna-warna yang dipilih pula hanyalah daripada rona putih, silver dan keunguan untuk mengekalkan ciri-ciri pengantin malar segar, suci dan manis.

“Berbeza dengan Rizman Ruzaini, segmen atau jenama RR ini kami peruntukkan untuk pengeluaran yang lebih besar. Harga helaian RR Bridal RTW 2022/23 bermula daripada harga RM699 hingga RM1,499. Walaupun berstatus RTW, untuk koleksi ini, pakaian hanya akan disediakan selepas mendapat pengesahan pesanan.

“Tetapi jangan risau, pesanan hanya akan mengambil masa dua minggu sahaja untuk disiapkan dan sampai kepada pelanggan. Tempahan boleh dibuat melalui laman sesawang kami, rizmanruzaini.com,” katanya lagi. – MalaysiaGazette