KUALA LUMPUR – Srikandi Keadilan PKR yang disertai hampir 100,000 wanita muda tampil menawarkan diri dan bersedia sepenuhnya untuk menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.
Srikandi Keadilan merupakan salah satu sayap Wanita Keadilan yang dipelopori oleh wanita muda dalam parti PKR.
Ketuanya, Anetha Pillai yakin dengan kebolehan dan keupayaan mereka yang semakin menonjol sejak beberapa tahun kebelakangan ini dalam arena politik negara.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Wanita PKR Pusat berkata, pihaknya sudah menghantar beberapa nama yang diyakini mampu menjadi calon sebaliknya mampu menjadil wakil rakyat yang menjadi suara rakyat khasnya golongan wanita muda di negara ini.
“Memang kita sudah hantar beberapa nama tetapi apa pun keputusan muktamad oleh kepimpinan tertinggi. Kita hantar nama kerana kita sudah bersedia dan Srikandi Keadilan juga mampu memberikan kemenangan kepada parti kita.
”Golongan wanita muda dalam sayap ini juga bukanlah dalam kalangan calang-calang tetapi ingin saya tegaskan, mendapat kerusi untuk bertanding bukanlah matlamat utama sebaliknya kita mempunyai visi dan misi penting yang telah di amanahkan kepada kami iaitu terus memperkasaka serta membela nasib golongan wanita muda di negara ini.
“Penyertaan ramai golongan wanita muda ke dalam arena politiknya khasnya dalam Srikandi Keadilan juga antara sebab mengapa kami dalam sayap akan terus all out,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini selepas Program Permukiman sayap itu selama dua hari di sini yang turut disertai 40 pimpinan dari seluruh negara hari ini.
Anetha bersama timbalannya, Wan Zulaika Abdul Kahar juga membuat pengumuman barisan Srikandi Keadilan bagi 2022-2025 yang akan menggerakkan sayap penting Wanita Keadilan dalam menghadapi PRU-15 ini.
Turut diumum barisan tiga Naib Ketua yang telah dilantik bagi menyelaraskan program serta aktiviti Srikandi Keadilan mengikut zon (Utara), (Pantai Timur) dan (Sabah Sarawak).
Kata Anetha lagi, Srikandi Keadilan juga akan menyokong serta tampil membantu setiap calon yang akan bertanding pada PRU akan datang bagi memastikan kemenangan dan kehendak rakyat berpihak kepada Pakatan Harapan (PH).
“Jika tidak tercalon sekali pun, kami sebenarnya sudah mula turun padang dan membantu apa yang perlu, banyak aktiviti telah direncana, Srikandi Keadilan sememangnya tidak menang tangan,” ujarnya. -MalaysiaGazette