Ainizan (kiri) bersama Lisdawati menunjukkan koleksi tudung yang dijual di butiknya AZ Clover di Prima Saujana, Kajang.

KAJANG – Siapa sangka duhulu beliau ialah seorang jururawat di hospital kerajaan kini bergelar usahawan tudung terkenal.

Pengasas yang juga pengarah butik AZ Clover, Ainizan Abdul Talip, 43, berkata, kesusahan kerana gaji bulanan yang diterima hanya sekadar cukup makan untuk membantu suaminya menyara keluarga menjadi pencetus kepada kejayaan bagi mengubah kehidupan mereka.

Menurut Ainizan, sebelum ini dia bekerja sebagai Ketua Jururawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan idea mengusahakan perniagaan tudung mendapat sokongan suami yang juga Pengarah Urusan Az Clover, Zulkipli Che Ibrahim, 45.

Mereka memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah pada 2016.

Katanya, dia sudah hampir dua tahun bersara awal sebagai Ketua Jururawat manakala suami yang baru tiga bulan bekerja di sebuah syarikat swasta sebagai chargeman berhenti kerja bagi menumpukan perhatian terhadap bidang perniagaan yang diusahakan.

Ujarnya, tudung yang diusahakan itu bermula dari membuat tudung jururawat yang dijual kepada rakan sekerja dan dikembangkan kepada tudung komersial yang dipasarkan secara dalam talian.

“Kerja-kerja pembungkusan dilakukan sendiri di rumah selepas waktu kerja bersama suami dan pernah selesai hingga lewat pagi dan keesokanya pula perlu meneruskan tugasan hakiki di tempat kerja,” katanya ketika ditemui di butiknya di Prima Saujana, di sini.

Ainizan berkata, selepas dua tahun perniagaannya mula berkembang dan mereka dapat menyewa sebuah rumah kedai dengan mengaji tiga pekerja bagi meluaskan pasaran.

Ibu kepada lima cahaya mata itu berkata, modal untuk memulakan perniagaannya hanya menggunakan kad kredit berjumlah RM20,000 bagi mendapatkan barangan keperluan tudung serta peralatan lain.

Tambahnya, perniagaan yang diusahakanya bukan hanya mencari keuntungan semata-mata, malah ia bertujuan membantu wanita termasuk yang masih belum menutup aurat untuk melaksanakannya.

Ia boleh dilakukan dengan sempurna melalui corak dan warna menarik pada tudung bagi menguisi diri sebagai muslimah dan boleh diperoleh pada harga berpatutan dan mampu milik untuk setiap golongan.

Katanya, berkat kesabaran selepas melalui pelbagai rintangan, tudung jenama keluaran syarikatnya kini setanding dengan jenama terkenal lain serta dapat menembusi pasaran luar negara seperti di Singapura dan Brunei.

“Usahawan baharu yang ingin menceburkan diri dalam perniagaan dinasihatkan jangan cepat berputus asa kerana kejayaan itu memerlukan pengorbanan dan kecekalan diri,” katanya.

Ainizan menjelaskan, sebanyak 90 peratus jualan tudung dilakukan secara dalam talian manakala, selebihnya dijual secara terus di butik termasuk dipasarkan melalui 300 agen berdaftar dari seluruh negara.

“Sekarang kami boleh menarik nafas lega apabila perniagaan yang diusahakan sudah mencapai kejayaan kerana mampu memiliki sebuah kedai sendiri bernilai RM1.5 juta, mengaji 40 pekerja dan melantik pelakon, Lisdawati Nazaruddin sebagai duta perniagaan.

“Pada tahun lalu syarikat juga mendapat pengiktirafan lima dari 300 syarikat terbaik anjuran Naza Group dan berhasrat meluaskan cawangan di Bandar Baru Bangi dan Kuantan pada masa depan,” jelasnya. – MalaysiaGazette