Ibrahim (tengah) bersama barisan kepimpinan GTA Nasional di Ipoh, semalam.

IPOH – Gerakan Tanah Air (GTA) adalah wadah dan benteng terakhir menjadi sandaran umat Melayu dan kaum pribumi, sebelum menjadi pengemis di bumi sendiri serta hilang tempat berteduh selepas 65 tahun merdeka.

Pengerusi GTA Kelantan, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, umat Melayu dan rakyat keseluruhannya tidak sepatut berada seperti di hujung tanduk jika pemimpin UMNO tidak curang dengan tanggungjawab diamanahkan rakyat.

Katanya, keadaan itu bermula selepas Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU11) tahun 2004, di mana kepimpinan negara diambil alih oleh Perdana Menteri kelima iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Sejarah ini tidak sepatutnya dilupai oleh rakyat Malaysia sehinggalah keadaan terkawal apabila Tun Abdullah meletak jawatan dan negara beralih kepada Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Harapan rakyat ketika itu tinggi menggunung kepada Najib kerana kepimpinan negara beralih kepada anak tokoh pembangunan (Tun Abdul Razak).

“Memang ada pelbagai usaha dilakukan oleh Najib selama sembilan tahun, namun di sebaliknya tidak disangka hujan di tengah hari, menyebabkan banyak berlaku kerosakan kepada negara,” katanya ketika berucap pada Sidang GTA Perak di Ipoh, semalam.

Turut hadir, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim; Presiden IMAM, Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak dan Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali.

Menurut Ibrahim, dari situ bermulalah negara yang dikenali Harimau Asia dan negara ke-17 terhebat di dunia, termasuk menjadi negara Islam contoh dengan nama Malaysia menjadi sebutan di merata dunia.

Seharusnya, kata beliau, rakyat wajar menyingkap kembali sejarah cemerlang negara ketika ini.

Menurutnya, tidak ada apa kegelisahan rakyat waktu itu kecuali tangisan hampir seluruh warga UMNO apabila Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan secara terhormat selepas 22 tahun memimpin negara.

“Memang ada kelemahan, tetapi begitu banyak kejayaan negara dan nikmat yang dikecapi oleh rakyat.

“Namun, selepas 15 tahun berlalu bermula 2004 hingga kepada Najib, Malaysia tiba-tiba menjadi negara cemuhan, negara rasuah dan kleptokrasi dengan pelbagai isu serta masalah.

“Seringkas dan sejujurnya mula berlaku pergolakan politik dan perpecahan yang melihat berlakunya lompat melompat di kalangan Ahli Dewan Rakyat dan terbongkar rasuah di sana sini serta tidak sedikit penjawat awam turut terlibat,” ujarnya.

Beliau berkata, sistem tadbir urus negara mula berkecamuk sehingga hampir semua institusi kehilangan integriti dan kesudahannya nilai ringgit merundum, kos sara hidup meningkat tanpa kawalan berkesan, inflasi serta hutang negara pula mencecah RM1.4 trilion.

“Menyanyilah para pemimpin kononnya negara di landasan betul dan berita di televisyen pula sedap didengar dengan angka keluaran Jabatan Perangkaan.

“Namun rakyat keluh resah ibarat kata seolah nasi sudah menjadi bubur. Teruslah mereka ini beretorik, tetapi nasib rakyat sudah seperti telur di hujang tanduk. Paling parah terkesan ialah majoriti umat Melayu Islam dan pribumi.

“Semuanya indah khabar dari rupa. Rupanya indah kulit dari isi. Ada pemimpin dan parti sanggup jual bangsa sebagai modal meraih sokongan politik dan ada yang jual agama sebagai modal politik,” tegasnya.

Justeru, kata Ibrahim, GTA menjadi taruhan untuk kesejahteraan kelangsungan kehidupan rakyat serta mengembalikan semula maruah negara di persada dunia.

GTA, katanya, wajib memikul beban perjuangan bagi menentukan umat Melayu Islam dan pribumi tidak kehilangan bumi seperti mana rakyat Palestin kehilangan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast