Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas akan membuat keputusan muktamad mengenai kerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) sebelum hujung minggu ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dalam membuat keputusan berkenaan parti itu akan mengambil kira faedah dan mudarat yang bakal dihadapi.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam yang UMNO tidak pernah memadamkan agenda penyatuan ummah dengan Pas yang menjadi asas kestabilan politik negara.

“Pas dengan ini mengambil sikap mengkaji secara mendalam keterbukaan UMNO dalam hal ini dan akan membuat keputusan muktamad sebelum hujung minggu ini dengan mengambil kira aspek maslahah yang lebih besar serta mudarat yang paling ringan,” kata Takiyuddin.

Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu, Pas menyambut baik kenyataan yang dibuat oleh Ahmad Zahid susulan pertemuan beliau dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 17 September lalu.

Takiyuddin berkata, Pas tetap mengharapkan satu jalinan penyatuan ummah yang sejati dapat direalisasikan antara parti utama Melayu Islam tersebut.

Penyatuan itu perlu mengambil roh dan semangat persaudaraan Islam seperti yang ditunjukkan dalam sirah antara kaum Aus dan Khazraj serta Muhajirin dan Ansar yang akhirnya membawa kepada kekuatan dan kegemilangan pemerintahan berteraskan Islam.

“Pas mengulangi komitmen untuk bersama dalam segala usaha ke arah mencapai hasrat penyatuan ummah terutamanya dalam kalangan rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam berteraskan ayat 10 Surah al-Hujurat yang menekankan soal ‘perdamaian’ di antara orang-orang Islam yang bertelagah dalam sesuatu urusan mereka.

“Dalam hal ini, Pas turut menekankan soal penyelesaian sesuatu perkara perlu dirujuk kepada sumber agama Islam iaitu al-Quran dan hadis,” kata Takiyuddin dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid mengesahkan Abdul Hadi ada mengunjungi dan mengadakan pertemuan di kediamannya.

Pertemuan itu antara lain membincangkan agenda penyatuan ummah yang pernah digerakkan secara bersama oleh Pas dan UMNO.

“Sebab itulah sejak dari awal UMNO sentiasa menekankan soal keikhlasan dan kejujuran dalam apa jua bentuk permuafakatan.

“Namun, UMNO tidak sesekali dapat menerima mereka yang berterusan melakukan pengkhianatan dan mengambil sikap dengan menjadikan Barisan Nasional sebagai musuh mereka,” kata Ahmad Zahid.

Justeru, beliau menegaskan, sebarang usaha memulihkan Muafakat Nasional atau apa jua bentuk permuafakatan dan kerjasama mestilah kembali berpandukan kepada prinsip dan semangat piagam asal sebagaimana yang pernah dimeterai dan disepakati.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiga syarat UMNO jika Pas mahu bekerjasama – Zahid