Kenderaan polis turut diterbalikkan dalam rusuhan di Stadium Kanjuruhan Sabtu lalu. Foto EPA

JAKARTA – Sehingga Ahad, sejumlah 125 orang disahkan maut akibat rusuhan selepas perlawanan bola sepak di wilayah Jawa Timur, Indonesia, dengan lebih 320 lagi cedera, kata Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral Listyo Sigit Prabowo.

Sebelum ini, polis berkata, jumlah kematian ialah 129 dan lebih 180 lagi cedera, manakala pihak berkuasa wilayah mendakwa 172 maut dalam tragedi itu.

Bagaimanapun, Listyo berkata beberapa nama mangsa disenaraikan lebih daripada sekali.

“Tetapi sekarang kami masih mengumpul lebih banyak data dan kami akan mengemas kini semua perkembangan yang dapat,” kata Listyo pada sidang akhbar.

Rempuhan itu berlaku lewat malam Sabtu di Stadium Kanjuruhan di Kabupaten Malang selepas kelab Arema Malang tewas kepada Persebaya Surabaya dalam perlawanan bola sepak liga Indonesia.

Media tempatan melaporkan, penyokong pasukan yang kalah memanjat pagar dan memasuki padang bola sepak, mengakibatkan rempuhan dan pertempuran dengan polis.

Polis kemudian melepaskan gas pemedih mata, menyebabkan panik dalam kalangan penyokong lalu bergegas meninggalkan stadium, menyebabkan rempuhan di pintu keluar.

Presiden Joko Widodo telah mengarahkan Polis Indonesia untuk menjalankan siasatan ke atas insiden itu dan mengarahkan penilaian penuh terhadap prosedur keselamatan untuk perlawanan bola sepak. – Xinhua