Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Pembentangan Bajet Negeri Pulau Pinang 2023 masih mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pada awal November ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, notis persidangan pembentangan bajet pada 4 November itu sudah dikeluarkan.

“Kita tidak boleh tukar tarikh (pembentangan) sewenang-wenangnya, melainkan ada pindaan kita akan hantar semula notis.

“Jika Pilihan Raya Negeri turut diadakan, isu bajet tak akan dibangkitkan namun mengikut kenyataan Pakatan Harapan (PH) tiga buah negeri di bawah PH sehaluan tidak akan membubar Dewan Undangan Negeri (DUN) buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada lima rumah dan pertubuhan kebajikan menerusi platform LovePenang di  The Top, Komtar, di sini, hari ini.

Terdahulu, media tempatan melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikatakan akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membubarkan Parlimen sebelum pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat ini.

Beliau dilaporkan dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong esok untuk memberi taklimat mengenai bajet selain memohon perkenan baginda membubarkan Parlimen untuk memberi laluan bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow memberitahu rundingan pembahagian kerusi bagi PH di Pulau Pinang bermula hari ini. – MalaysiaGazette