Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas tidak pernah membuat pusingan U mengenai kerjasama dengan UMNO dalam mewujudkan penyatuan ummah menerusi Muafakat Nasional (MN).

Malah Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu juga tidak pernah mengubah pendirian mengenai perkara tersebut.

“Kita tak pernah pusing, kita jalan lurus. Pas menegaskan penyatuan ummah ini kita tidak pernah undur ke belakang. Tidak pernah kita ubah dari dulu sampai sekarang.

“Tak fikir timbul soal pusingan U,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mana beliau membayangkan Pas akan membuat pusingan U dan kembali mengukuhkan MN tidak lama lagi.

Sumber laporkan berkata, perkata itu dizahirkan Ahmad Zahid pada perjumpaan tertutup di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) semalam.

Ditanya mengenai syarat-syarat yang dikemukakan oleh Ahmad Zahid kepada Pas sekiranya mahu kembali bekerjasama dengan UMNO, Tuan Ibrahim berkata, perkara itu tidak disebut secara rasmi oleh beliau.

“Saya tengok kenyataan rasmi tidak ada syarat tersebut, tidak ada dalam kenyataan rasmi dia (Ahmad Zahid).

“Saya fikir kalau betul tiga syarat, mesti dia masuk dalam kenyataan rasmi. Dia tidak sebut syarat-syarat tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid memberikan tiga syarat kepada Pas dalam memperkukuh kerjasama rasmi antara dua parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tiga syarat berkenaan ialah Pas perlu keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia serta mengisytiharkan secara rasmi ‘mufaraqah berkenaan dan bukan hanya sekadar retorik politik. – MalaysiaGazette