Norazizul Lizam Miskun didakwa menetak anggota polis pada September lalu dibawa ke Mahkamah Shah Alam hari ini. Foto MOHD ADZLAN, 05 OKTOBER 2022.

SHAH ALAM – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaaan mencederakan seorang anggota polis, Mohd Ridzuan Marsudi hingga cedera menggunakan parang.

Tertuduh, Norazizul Lizam Miskun, 47, didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Siswi, Jalan Sungai Kandis, Seksyen 36, Shah Alam pada 26 September lalu sekitar jam 4.01 petang.

Norazizul Lizam didakwa melakukan kesalahan yang mungkin mengakibatkan kematian mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, S. Reetha yang mengendalikan kes itu memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan tidak dibenarkan menganggu mangsa atau saksi yang terlibat sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, Norazizul Lizam meminta jaminan dapat dikurangkan kerana perlu menanggung keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Kes disebut semula pada 21 Disember depan untuk serahan dokumen dan pelantikan peguam.

Sementara itu, di dalam dua Mahkamah Majistret berasingan, tertuduh yang sama  dijatuhi hukuman denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah melakukan khianat terhadap kenderaan adik-beradiknya pada bulan lalu.

Norazizul Lizam membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohammad Redza Azhar Rezali.

Tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan khianat dengan mengambil pasu bunga lalu menghempas pada cermin kereta milik kedua-dua abangnya, Noor Hadi Miskun, 53 dan Nor Baiza Miskun, 49, hingga menyebabkan cermin hadapan pecah dan mengalami kerugian lebih RM25.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Siswi, Jalan Sungai Kandis, Seksyen 36, Shah Alam pada 25 September lalu sekitar jam 4 petang, dituduh di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman yang mengendalikan kes itu telah memohon mahkamah mengenakan hukuman yang lebih berat kepada tertuduh bagi memberi pengajaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan tindakan yang sama.

Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan atau enam bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Tertuduh turut mengaku bersalah di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam tubuhnya.

Kesalahan tersebut dilakukan di Bahagian IV Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya pada 26 September sekitar jam 7.40 petang di Pejabat D7, Bahagian Siasatan Jenayah Shah Alam.

Bagi kesalahan itu, Norazizul Lizam didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1951 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Nur Faizah kemudian memutuskan tertuduh dijamin RM2,000 dan menetapkan21 November depan bagi sebutan semula kes dan menyerahkan keputusan ujian patalogi.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saidah Fasihah Che Yussoff. – MalaysiaGazette