Ahmad Shabery Cheek

KUALA LUMPUR – Kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO akan menganjurkan perhimpunan raksasa sekiranya Pas memutuskan hubungannya dengan Perikatan Nasional (PN) menunjukkan UMNO masih terbuka kepada parti Islam itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shabery Cheek berkata, kenyataan itu turut membuktikan kesediaan UMNO berlapang dada demi perpaduan ummah.

Jelasnya, sebagaimana sukarnya Pas untuk menerima Parti Amanah Negara (Amanah), begitu juga susahnya UMNO untuk menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam penyatuan ummah yang disebut-sebut oleh Pas.

“Kalau semua maaf mudah diberi. Maka tidaklah dijadikan syurga dan neraka….,” katanya penuh makna.

Ahmad Shabery mengulas demikian satu laporan berita yang memetik kenyataan Presiden UMNO dalam pertemuan khas dengan semua ketua bahagian termasuk sayap Pemuda, Wanita dan Puteri di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur semalam.

Dalam laporan sebuah portal yang memetik sumber sebagai berkata, Perhimpunan raksasa Muafakat Nasional 2.0 akan diadakan di WTC sekiranya Pas mengikuti tiga syarat yang ditetapkan oleh Presiden UMNO sebelum Perdana Menteri mengumumkan tarikh pilihan raya.

Baru-baru ini, Ahmad Zahid berkata, UMNO telah menetapkan tiga syarat terhadap Pas termasuk parti itu perlu keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) sebelum bekerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dua lagi syarat ialah Pas perlu memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi mereka sepenuhnya telah mufaraqah (berpisah) dengan PN dan Bersatu.

Ahmad Zahid, semua syarat itu telah diketahui Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam pertemuan mereka baru-baru ini. – MalaysiaGazette

Tiga syarat UMNO jika Pas mahu bekerjasama – Zahid