Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya berjaya naik dua anak tangga dalam kedudukan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berdasarkan kemas kini terbaharu badan induk itu.

Skuad kendalian Kim Pan Gon kini berada di kedudukan ke-146 dunia berbanding 148 sebelum ini.

Peningkatan itu susulan kejayaan skuad Harimau Malaya yang muncul naib juara pada Piala Raja Thai apabila terikat tanpa jaringan dengan Tajikistan pada final sebelum tewas menerusi penentuan penalti 3-0.

Terdahulu, anak buah Pan Gon mara ke final selepas seri 1-1 menentang tuan rumah Thailand sebelum menang penalti 5-3.

Malaysia yang mengumpul 1062.32 mata keseluruhan berada di tangga ke-26 bagi ranking Asia dan keempat di ASEAN di belakang Vietnam (96), Thailand (111), dan Filipina (133).

Brazil kekal di kedudukan nombor satu dunia dengan mengumpul 1841.3 mata mengatasi Belgium di kedudukan kedua yang menghimpun 1816.71 mata.

Sementara itu, Itali memintas Sepanyol untuk naik ke tangga keenam dengan mengumpul 1726.14 mata. – MalaysiaGazette