Zainun membantu menguruskan Roslan di rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka.

ALOR GAJAH – Pak Lan masih okay, cuma minta kawan-kawan doakanlah supaya Pak Lan sentiasa sihat walaupun mata dah tak nampak apa-apa dah,” kata pelakon veteran, Roslan Saleh, 65, dalam nada sebak.

Biarpun hanya mampu terlantar di atas katil dan terpaksa bergantung penuh kepada anak bongsunya, Ahmad Danial, 20, untuk menguruskan diri, seniman itu tidak sesekali menyalahkan takdir terhadap dirinya.

Sebaliknya, dia bersyukur kerana ramai kenalan dalam industri mahupun penduduk kampung berkenaan sentiasa bertanya khabar mengenai kesihatannya yang semakin merosot sejak Mei lalu.

“Pak Lan sihat, cuma tak upaya nak bergerak macam biasa sebab penglihatan kedua-dua mata dah tak nampak bila doktor terpaksa matikan urat saraf bagi mengelakkan rasa sakit dan pening kepala akibat penyakit kencing manis.

“Kadang tu, rasa rindu pada dunia lakonan yang telah menjadi kerjaya selama lebih 30 tahun lalu, tapi dah macam ni nak buat macam mana.

“Kawan-kawan (pelakon) pun kita dah anggap macam keluarga. Alhamdulillah, ramai kawan-kawan yang datang, yang tanya khabar. InsyaAllah…,” katanya sambil menitiskan air mata ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah, di sini hari ini.

Roslan kini tidak lagi mampu melihat.

Sementara itu, isteri pelakon legenda itu, Zainun Majid, 53, berkata, suaminya mengidap penyakit kencing manis dan darah rendah sejak lebih 20 tahun lalu dan mengalami penyakit glaukoma yang merosakkan saraf mata kesan daripada kencing manisi itu sejak 2018 membuatkan dia tidak lagi aktif berlakon.

Tambahnya, walaupun ada menerima tawaran berlakon, namun suaminya enggan menerimanya kerana tidak mahu menyusahkan kru produksi kerana perlu kerap ke tandas dan sukar untuk bergerak kerana penglihatan yang semakin kabur ketika itu.

“Kesihatan suami makin merosot sejak Mei lalu apabila mencuba rawatan alternatif menggunakan sejenis alat setelah diperkenalkan kenalannya waktu itu.

“Bagaimanapun, sehari kemudian, kaki kiri Pak Lan tiba-tiba menggelembung dan mengeluarkan air yang banyak seperti terbakar sebelum dibawa ke hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

“Ujian dihadapi bertambah apabila Julai lalu doktor terpaksa mematikan kedua-dua saraf matanya kerana penyakit glaukoma semakin kritikal bagi mengelakkan kepalanya sakit,” katanya.

Zulkiflee melawat Roslan di rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka.

Tambahnya, akibat penyakit dialami, suaminya pernah membintangi banyak drama dan filem popular antaranya Sembilu 2, Gerak Khas The Movie 2, Munafik 2, Anak Perjanjian Syaitan dan Ratu Kala Jengking : Puteri Keranda terpaksa menerima rawatan susulan membersihkan luka dan mata setiap minggu dan bulan di Hospital Melaka.

Tambahnya, mujurlah, anak bongsunya banyak membantu kerana suaminya kini tidak mampu lagi untuk bergerak sendiri termasuklah perlu dipakaikan lampin pakai buang.

Jelasnya walaupun begitu, ingatan suaminya masih kuat terutamanya mengingati rakan industri seni yang tidak putus-putus bertanyakan khabar dan membantunya selepas ‘bersara’ lebih empat tahun lalu.

“Selepas tidak aktif berlakon, saya ada membantunya membuka perniagaan kecil-kecilan menjual daging dendeng, sambal lado dan sambal hitam belimbing buluh dari rumah dan sendiri akan menjualnya di sebuah stesen minyak berhampiran rumah.

“Namun, selepas tidak mampu lagi bergerak, sumber pendapatan suami juga terjejas dan hanya mengharapkan bantuan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sebanyak RM300 sebulan,” katanya.

Sementara itu, nasib dialami Pak Lan turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin yang berjanji untuk melihat segala keperluan pelakon veteran itu.

“Kita akan lihat apakah bentuk bantuan lain yang layak dan boleh disalurkan dan insya-Allah saya akan bawakan isu ini kepada pihak kesihatan negeri untuk membantu dari segi keperluan pembedahan dan sebagainya,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan meringankan beban Roslan boleh berbuat demikian melalui nombor akaun Bank Islam 12225020113588 (Zainun Majid) – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast