Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan sebahagian ahli parlimen pembangkang selepas Pembentangan Bajet 2023 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 07 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Bajet 2023 yang baru selesai dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini merupakan satu belanjawan untuk memulihkan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia juga merupakan persediaan dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Malah beliau berkata, bukan sahaja golongan B40 malah golongan M40 serta kumpulan orang kelainan upaya (OKU) juga turut menerima manfaat daripada bajet yang disediakan kerajaan kali ini.

“Sesuai dengan tema Keluarga Malaysia, kalau kita lihat bajet ini menumpukan kepada seluruh Keluarga Malaysia. B40,M40 golongan belia, wanita OKU peruntukan diberikan kepada setiap kumpulan yang saya sebut tadi. Malah dari segi pembangunan luar bandar, bandar dan sebagainya.

“Bajet ini juga ditujukan kepada pemulihan ekonomi dan persediaan kita menghadapi keadaan ekonomi tak menentu tahun hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Dewan Rakyat selepas pembentangan Bajet 2023 di sini hari ini.

Sementara itu, dalam hantaran di media sosialnya, Ismail Sabri melahirkan rasa gembira selepas kerajaan selesai membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Perdana Menteri, pembentangan Bajet 2023 merupakan manifestasi dan komited kerajaan dalam menawarkan manfaat kepada Keluarga Malaysia.

“Bajet 2023 juga memperlihatkan komitmen Kerajaan menawarkan manfaat kepada Keluarga Malaysia.

“Bajet ini juga menjadi manifestasi usaha kerajaan untuk kebangkitan negara, agar menjadi sebuah negara yang unggul setelah kita mengharungi pelbagai krisis dan cabaran sebelum ini,” katanya di Facebook beliau hari ini.

Bajet 2023 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’ yang membabitkan peruntukan RM372.3 bilion akan dipandu oleh agenda 3R – Responsif, Bertanggungjawab dan Reformis.

Antara lain, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) ditambah baik, beri manfaat kepada 8.7 penerima dengan peruntukan RM7.8 bilion. Kategori baharu BKM diperkenal, isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan tanggung lima anak atau lebih layak terima RM2,500.

Tawaran kredit e-dompet RM100 diberikan kepada kumpulan M40 berpendapatan tahunan bawah RM100,000 menerusi inisiatif e-Pemula M40.

Dalam pada itu, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan kepada dua mata peratusan. Pelepasan cukai hingga RM3,000 bagi bayaran yusan taska dan tadika berdaftar dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2024.

Terdahulu, Tengku Zafrul mengambil masa dua jam 10 minit unutuk membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat.

Belanjawan 2023 merupakan satu bajet yang berfokus kepada Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan, Kemakmuran Ekonomi dan Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan.

Ia merupakan kali ketiga Tengku Zafrul menjadi pembentang selepas membentangkan Bajet 2021 dan Bajet 2022. – MalaysiaGazette