KUALA LUMPUR – Beberapa pasukan Liga Malaysia menganggap format Piala Malaysia 2022 pada musim ini adalah relevan berdasarkan beberapa faktor selain memberi ruang mencukupi kepada pasukan untuk bersedia.
Kejohanan tertua di Asia ini menyaksikan tiada aksi peringkat kumpulan yang mana semua pasukan akan diundi untuk memulakan cabaran di pusingan 16 pasukan secara timbal balik.
Menurut pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, aspek jadual dan cuaca yang tidak menentu ketika ini adalah wajar untuk menjadi faktor kepada perubahan format TM Piala Malaysia kali ini memandangkan pasukan juga enggan lagi berdepan sebarang kemungkinan yang tidak diingini.
Jadi, ini ada keputusan yang adil untuk semua pihak dalam memastikan semua perlawanan TM Piala Malaysia musim ini berjalan dengan lancar.
“Ini satu kelainan untuk TM Piala Malaysia dan saya boleh faham kesuntukan masa serta cuaca yang tidak menentu ketika ini menjadi faktor.
“Pihak MFL pastinya telah memikirkan sedalam-dalamnya tentang perkara ini, jadi bagi pihak Sabah FC sudah tentu kami menerima baik format kali ini.
“Ini kerana pada masa sama kita juga dapat menjimatkan kos pasukan Sabah yang terpaksa terbang ulang-alik setiap kali bermain dan ini akan dapat mengurangkan kos.
“Bahkan, jumlah perlawanan pada musim ini juga saya rasa amat mencukupi sepertimana yang kita kehendaki di mana pasukan memerlukan sekurang-kurangnya 30 perlawanan, jadi tiada masalah”, katanya.
Selain itu, ketua jurulatih PJ City FC, P. Maniam pula menganggap dengan format seperti ini akan memberi kelebihan kepada skuad kebangsaan yang akan beraksi pada Kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022, Disember ini.
“Saya rasa format ini bagus sebab kita pun tahu skuad kebangsaan kena bersedia untuk kejohanan AFF dan ini adalah yang terbaik.
“Lagi satu, musim kita tahun ini juga agak panjang jadi sudah tentu kita sudah tidak ada banyak masa dan pasukan kita sendiri pun ada masa untuk lebih fokus kepada sesuatu perlawanan dengan format ini”, katanya.
Bagi ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio, beliau menerima perubahan ini dengan positif selepas melalui musim yang agak padat terutama bersaing di pentas Liga Juara-juara AFC.
“Kami telah melalui banyak perlawanan tertunda ekoran sebelum ini perlu bersaing di peringkat kumpulan Liga Juara-juara.
“Jadi pengurangan jumlah perlawanan kepada empat sememangnya melegakan tetapi semua perlawanan itu kami jangkakan tetap sukar dan sengit,” katanya.
Ketua jurulatih Kedah Darul Aman(KDA), Aidil Sharin Sahak, juga tiada masalah menerima format berkenaan sambil mengakui membantu skuadnya yang mempunyai sedikit pilihan pemain.
“Kami tidak ada skuad sebesar Selangor, Terengganu atau JDT yang ada pilihan lebih besar (reserve team).
“Sebahagian besar pemain yang kami gunakan adalah bakat-bakat muda dan saya percaya mereka boleh menunjukkan sesuatu di TM Piala Malaysia nanti,” katanya. – MalaysiaGazette