Mangsa berjaya ditemui pasukan penyelamat pada jam 10.45 malam berhampiran kawasan bukit berbatu di Gua Yunus Pulau Besar sebelum dibawa ke Jeti Anjung Batu, Merlimau dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan kesihatan.

MELAKA – Wanita bujang yang ditemui sesat di Pulau Besar, di sini, malam tadi bercadang untuk bermalam dan bertapa di pulau itu buat kali keempat sebagai usaha menjalani perubatan batin yang diamalkannya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sebelum ini mangsa sudah beberapa kali datang sendirian ke pulau berkenaan bagi tujuan perubatan yang mensyaratkannya perlu mengelilingi pulau berkenaan sebanyak enam kali.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, penjual sayur di pasar malam itu telah pergi ke Pulau Besar menaiki bot nelayan melalui Jeti Anjung Batu, Merlimau pada jam 8 pagi semalam dan sepatutnya pulang pagi ini.

“Tujuannya adalah untuk bermalam di sebuah surau di Pulau Besar seorang diri untuk tujuan berubat iaitu perlu mengelilingi pulau itu sendirian sebanyak enam kali.

“Semalam mangsa dalam proses melengkapkan pertapaannya serta mengelilingi Pulau Besar untuk kali ke empat,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Christopher Patit

Menurut Christopher, mangsa pada awalnya bercadang untuk berjalan mengelilingi Pulau Besar mulai tengah hari semalam sehingga senja dan bermalam di surau berkenaan.

“Bagaimanapun, ketika berjalan menuruni kawasan bukit berbatu di Gua Yunus, mangsa telah hilang arah panduan menuju ke surau disebabkan faktor cuaca gelap sebelum menelefon MERS 999 untuk meminta bantuan.

“Mangsa kemudian berjaya ditemui pasukan penyelamat pada jam 10.45 malam sebelum dibawa ke Jeti Anjung Batu, Merlimau dan dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Pulau Besar terkenal dengan pelbagai gelaran termasuk ‘Pulau Keramat’ dan ‘Pulau Syirik’ kerana sering dikaitkan dengan aktiviti pemujaan dan khurafat yang dilakukan mereka yang taksub dengan sesuatu kepercayaan. – MalaysiaGazette