Hamzah Zainuddin

SHAH ALAM – Tindakan 12 barisan menteri Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak ada kaitan dengan sokongan terhadap perdana menteri.

Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, surat bagi meminta pertimbangan Yang di-Pertuan Agong agar PRU-15 tidak diadakan tahun ini merupakan satu keputusan bersama oleh kepimpinan parti itu.

“Apabila parti telah buat keputusan, contoh Pas tidak mahu buat pilihan raya, (Tan Sri) Abdul Hadi Awang telah buat kenyataan. Begitu juga dengan Bersatu telah buat kenyataan.

“Kami menteri-menteri juga menerima arahan untuk tidak mahu diadakan pilihan raya masa terdekat. Kerana kita mengikut keputusan parti.

“(Adakah ini merupakan satu tindakan tidak menyokong kepimpinan perdana menteri?) Itu bab lain,” kata Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu.

Beliau ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi(MKT)  Bersatu di sini malam tadi. Turut hadir Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Terdapat pihak mengandaikan penolakan pembubaran Parlimen merupakan satu bentuk penarikan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekaligus menyebabkan Perdana Menteri telah kehilangan majoriti.

Sementara itu Hamzah berkata, mesyuarat MKT Bersatu membincangkan usaha untuk membantu rakyat jika negara dilanda banjir.

Turut dibincangkan adalah mengenai pembahagian kerusi dalam kalangan komponen PN.

“Kita membincangkan tentang kedudukan untuk membantu rakyat dan negara kita jika didapati bajir ini jika berlakunya, apakah persediaan yang harus kita buat membantu rakyat di seluruh negara.

“Kita membincangkan tentang kedudukan kita untuk bersama dengan parti-parti komponen di dalam PN tentang pembahagian kerusi yang telah pun bersedia untuk kita pastikan dan meletakkan calon bila ada pilihan raya nanti.

“Jentera pilihan raya harus kita beri latihan yang cukup supaya dapat dipastikan bila ada pilihan raya kita tahu apa hendak dilakukan,” jelasnya.

Hamzah bagaimanapun enggan mengulas jumlah agihan kerusi kepada parti-parti dalam PN dan menambah isu itu turut telah dibincangkan bersama kepimpinan PN yang lain.-MalaysiaGazette