Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Bukit Aman tidak mengesan sebarang kesalahan dilakukan Teo Boon Ching di negara ini yang telah diekstradisi dari Thailand ke Amerika Syarikat (AS) kerana terlibat dalam kegiatan penyeludupan hidupan liar dan pengubahan wang haram.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, bagaimanapun pihaknya akan terus melaksanakan pemantauan terhadap individu itu yang merupakan seorang warga Malaysia.

“PDRM dan Wildlife Crime Bureau (WCB) sentiasa mengikuti perkembangan yang berlaku terhadap rakyat Malaysia, Teo Boon Ching yang telah diekstradisi dan dituduh di AS ekoran kesalahan wildlife trafficking dan Akta Pengubahan Wang Haram pada 7 Oktober 2022.

“Bersabit kes ini, semakan mendapati beliau tiada terkesan sebarang kesalahan yang dilakukan oleh Boon Ching di Malaysia namun pemantauan akan terus dilaksanakan.

“PDRM juga sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasa di dalam dan luar negara bagi membanteras jenayah penyeludupan haiwan liar, kata Noorsiah menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Bernama memetik kenyataan Jabatan Kehakiman AS melaporkan bahawa Boon Ching yang bergelar Datuk Seri berusia 57 tahun didakwa didakwa terlibat dengan konspirasi menyeludup lebih 70 kilogram tanduk badak sumbu bernilai lebih AS$725,000, menurut kenyataan Jabatan Kehakiman AS.

“Teo didakwa atas satu pertuduhan bersubahat melakukan penyeludupan hidupan liar yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan dua pertuduhan pengubahan wang haram yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun.

“Teo telah ditahan di Thailand pada 29 Jun atas permintaan AS menurut perjanjian ekstradisi dua hala,” menurut kenyataan itu.

Individu itu telah diekstradisi dari Thailand ke AS pada Jumaat untuk menghadapi pendakwaan di negara kuasa besar dunia itu.

Terdahulu, pada Jumaat Boon Ching dan entitinya telah dikenakan sekatan oleh Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) Jabatan Perbendaharaan AS.

Kenyataan itu turut mendedahkan dan mendakwa Boon Ching ialah peneraju perusahaan jenayah transnasional yang berpangkalan di Asia serta menjalankan operasi penyeludupan tanduk badak sumbu berskala besar di Malaysia dan Thailand.

“Boon Ching didakwa bertindak sebagai penyeludup khusus yang mengangkut tanduk badak sumbu dari pusat operasi pemburuan badak sumbu dari Afrika kepada pelanggan terutamanya di Asia.

“Dia juga mendakwa boleh membuat penghantaran tanduk badak sumbu ke AS,” menurut kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast