KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan mempertimbangkan untuk memberi lebih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada MIC sekiranya parti itu boleh memastikan kemenangan 100 peratus calonnya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, MIC perlu buktikan kemampuannya dalam memastikan calonnya yang akan bertanding di sembilan kerusi Parlimen mampu meraih kemenangan.
“Saya dengar amaran daripada Presiden MIC tadi, Tan Sri you minta sembilan Parlimen dan 18 DUN, kalau mahu banyak lagi bangunlah (sorak perwakilan).
“Kalau mahu banyak (kerusi), mesti menang, boleh menang? Semua menang? BN menang? Hidup BN, BN Hidup, ini janji ya.
“Oleh itu, kita tumpukan kemenangan calon-calon kita hanya di kawasan Parlimen untuk calon-calon MIC dan BN yang lain.
“Kalau nak minta tambahan DUN lebih dari 18 kerusi, pastikan kemenangan 100 peratus calon-calon daripada MIC dalam PRU15,” katanya berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Presiden MIC, Tan Sri S.Vigneswaran dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
MIC perlu memberi tumpuan kepada kawasan Parlimen sahaja susulan tindakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang enggan membubarkan DUN dan tidak mahu mengadakan pilihan raya negeri (PRN).
“Kita tidak akan ada pilihan raya DUN kerana enam negeri tidak akan ada pilihan raya di DUN, tapi negeri-negeri di bawah pentadbiran BN akan mengadakan pilihan raya secara serentak, selain Johor, Melaka dan Sabah kerana belum cukup penggal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















