KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersiap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan diadakan pada bila-bila masa daripada sekarang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya mengambil maklum pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memaklumkan bahawa Parlimen ke-14 dibubar hari ini bagi memberi laluan untuk PRU-15 diadakan.
“PDRM siap siaga bagi menghadapi pilihan raya yang bakal berlangsung dan akan menggerakkan 94,411 pegawai dan anggota daripada 120,557 warga pasukan untuk penugasan-penugasan berkaitannya.
“Pada masa sama, PDRM juga akan bekerjasama erat dengan semua agensi, terutamanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses pemilihan demokratik di Malaysia berjalan lancar,” kata beliau menerusi kenyataan rasmi hari ini.
Kenyataan Acryl Sani itu menyusul selepas pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri hari ini.
Pada masa yang sama, persediaan telah diaturkan oleh PDRM untuk berganding bahu dengan lain-lain agensi penyelamat bersama-sama menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana alam dalam tempoh berlangsungnya PRU-15 kelak.
Sehubungan it, katanya, PDRM meminta kerjasama semua pihak untuk bersama-sama memainkan peranan agar proses pilihan raya umum berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Sebagai anggota masyarakat yang matang dalam menghadapi senario politik, usaha semua pihak untuk mengelak daripada menyentuh perkara-perkara sensitif amat diperlukan.
“Malah PDRM juga komited dalam menjalankan penugasan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” tegas Acryl Sani lagi. – MalaysiaGazette