KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana sedar parti itu tidak mempunyai masa depan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bekas Pengerusi Biro Strategi dan Dasar Bersatu dan pakar strategi itu boleh membaca dan menjangkakan apa yang akan berlaku terhadap Bersatu selepas PRU-15.
Katanya, Rais yang juga Pengasas Bersama Bersatu tidak akan keluar jika parti itu masih relevan dan mempunyai masa depan yang cerah.
“Namun pakar strategis tersebut tetap dapat membaca secara tajam, meskipun Bersatu ada jawatan Menteri Kabinet kanan, menteri, timbalan menteri dan pegang jawatan GLC.
“Malah jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara pun dilihat tidak ada impak terhadap negara dan parti. Sudah pasti situasi ini mudah dibaca oleh ahli strategis Bersatu.
“Manakala ahli Bersatu biasa tidaklah ada kesedaran ini, melainkan terus hanyut dengan mimpi dan kepercayaan bahawa Bersatu boleh memang besar dan membentuk kerajaan selepas PRU-15,” kata Ahmad Zahid dalam kenyataan hari ini.
Presiden UMNO itu berkata, tindakan Rais keluar merupakan satu tamparan besar kepada parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin itu.
Ahmad Zahid mendakwa, faktor utama yang menyebabkan Rais keluar daripada Bersatu kerana PRU makin hampir dan parti itu tidak dapat diselamatkan.
“Salah satu perkara yang dapat ditafsirkan ialah ketidakpercayaan kepada parti Bersatu sendiri yang dilihat bakal tewas dan tak boleh diselamatkan lagi.
“Akibat tindak tanduk pemimpin parti itu sendiri yang tidak merakyat, tidak mempunyai akar umbi yang kuasa, jentera yang lemah, kepimpinan hanya pentingkan jawatan dan kedudukan, dan tidak ada agenda perjuangan yang jelas,” katanya.
Bagaimanapun Ahmad Zahid mengucapkan tahniah atas tindakan yang diambil oleh Rais.
Ini kerana Rais pandai membezakan parti yang relevan dan bakal menang menjelang PRU-15.
Serentak itu Ahmad Zahid meminta ahli Bersatu yang lain mengikut langkah yang diambil oleh Rais.
“Cuma untuk ahli-ahli Bersatu yang bukan berstatus pengasas bersama Bersatu dan ahli strategis, ingin saya tanyakan, anda ahli-ahli biasa di peringkat cawangan bila lagi keluar dari parti Bersatu?
“Jangan pula lari malam beramai-ramai selepas tewas pilihan raya umum. Sudah terlewat ketika itu” katanya.
Rais mengumumkan keluar Bersatu pada 7 Oktober lalu dan tidak lagi aktif dalam parti itu sejak 2020 selepas menjalani prosedur jantung.
Beliau kini banyak menumpukan kepada pembangunan EMIR Research sebagai badan pemikir bebas yang menumpukan kepada cadangan dasar strategik.- MalaysiaGazette
















