Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menunjukkan kenyataan media selepas selesai menghadiri ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – UMNO berpendirian pembubaran Parlimen adalah jalan terbaik memandangkan wakil parti-parti yang membentuk kerajaan campuran semakin jelas tidak memperlihatkan solidariti terhadap Perdana Menteri dalam mentadbir negara.

Malah mengisytiharkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama hanya lebih melihatkan tiadanya kepercayaan dan rasa hormat kepada UMNO yang menerajui kerajaan, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bercakap pada media selepas selesai menghadiri ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 OKTOBER 2022.

Menurut beliau, UMNO menghormati titah Yang di-Pertuan Agong bahkan berpendirian negara tidak boleh dibiarkan berterusan berada dalam keadaan politik tidak menentu dan perlu mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang dapat menjamin kestabilan serta kemakmuran negara.

“UMNO menyerahkan kepada kebijaksanaan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh PRU-15.  UMNO berpendapat PRU-15 boleh diadakan sebelum pertengahan November iaitu sebelum menjelangnya musim banjir atau musim tengkujuh,” katanya ketika membacakan kenyataan media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini.

Sehubungan itu, Ahmad berkata, berkaitan PRU-15, tarikh baru Perhimpunan Agung UMNO yang sebelum ini ditentukan pada 23 hingga 26 November 2022 akan diubah kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

“Mesyuarat juga bersetuju agar tema utama manifesto bagi PRU-15 ialah “Kestabilan Dan Kemakmuran”. Tema seumpama ini telah digunakan sewaktu PRN Melaka dan PRN Johor sebelum ini. Ianya akan diangkat untuk persetujuan Dewan Tertinggi Barisan Nasional,” tambahnya.

Terdahulu, MKT UMNO mengadakan mesyuarat sejak pukul 8 malam tadi.

Sebelum itu, Biro Politik UMNO turut mengadakan mesyuarat sejurus pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan pembubaran Parlimen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast